Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU13, seperti yang dijangka ramai pihak merupakan pilihan raya yang paling sengit pertembungannya pada zaman kontemporari ini.

Dan seperti dijangka oleh ramai pihak juga, keputusan PRU13 ini akan melahirkan sesuatu yang diungkapkan oleh peribahasa Melayu; "rumah sudah siap, pahat masih berbunyi".

Cuma kali ini, bunyi pahat itu sungguh tidak menyenangkan pada telinga rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam politik.

Tanyalah mana-mana rakyat marhaen, seikhlasnya mereka mahukan iklim politik yang stabil dan menjamin kesejahteraan mereka usai PRU13.

Mana-mana rakyat yang masih waras tentu tidak ingin sekali melihat perang politik yang paling berkecamuk dalam sejarah tanah air sebelum PRU13 diteruskan kecamuknya.

Malangnya di kala rakyat sudah menyatakan hasrat, sebilangan ahli politik negara ini masih lagi menghunus keris kepada satu sama lain.

Namun begitu, realitinya ahli-ahli politik ini masih lagi bercakaran semahunya hinggakan rakyat tertanya-tanya, tidakkah mereka ini berhasrat menjulang kepentingan rakyat seperti mana yang mereka laungkan sebelum PRU tempoh hari?

Memburukkan lagi situasi, badan bebas seperti SPR yang sepatutnya bersikap neutral pun 2-3 hari ini pun turut sama ikut bertinju.

Habis semuanya sekarang tumbuk menumbuk antara satu sama lain. Satu pihak dengan siri-sri bantahannya (sama ada petisyen dan perhimpunan awam) dan satu pihak lagi dengan siri-siri penafiannya melalui media-media yang mereka kuasai.

Maka sekali lagi rakyat bertanya. Apa sudah jadi pada ahli politik negara ini? Tidakkah mereka belajar dari surah sejarah? Bukan kah sejarah itu cermin waktu depan?

Bukankah sejarah negara ini penuh dengan pertelingkahan antara pemimpin hingga akhirnya negeri tergadai ke kuasa penjajah asing?

Bukankah Kesultanan Melayu Melaka yang agung 600 tahun dahulu akhirnya terkulai ke tangan Portugis yang muncul ketika pembesarnya asyik berebut kuasa sendiri?

Satu empayar yang besar di dunia sebelah timur ini pada zaman akhirnya semakin punah oleh kelakuan para pemimpin mereka.

Tidakkah kita belajar dari sejarah, betapa bahayanya pertengkaran sesama sendiri bakal menjerumuskan negara ke arah kehancuran?

Tidak, tragedi kejatuhan Melaka tidak membawa teladan kepada kita. Buktinya kesilapan yang kita lakukan di abad ke-16 akhirnya diulang-ulang pada abad ke-18.

Bukankah pembesar-pembesar Kerajaan Melayu Patani yang ditumpaskan Siam pada tahun 1786 itu sedang bercakaran sewaktu Siam tiba dengan angkatan tentera?

Bukankah Singapura terlepas ke tangan Stamford Raffles akibat Sultan Husin yang asyik berebut kuasa untuk menjadi Sultan Johor?

Bukankah Negeri Sembilan akhirnya terjajah akibat Dato' Kelana yang kemaruk jadi pembesar utama itu bertelagah sesama sendiri sewaktu British tiba?

Bukankah perebutan takhta sultan di Pahang antara Bendahara Wan Mansur dan Bendahara Wan Ahmad ialah faktor campur tangan British di Pahang?

Bukankah Raja Abdullah yang mahukan takhta sultan Perak daripada adiknya Raja Ismail menjadi faktor kehilangan negeri Perak kepada penjajah British?

Bukankah terlepasnya Sarawak ke tangan James Brooke kerana disebabkan keluarga diraja Kesultanan Brunei yang berperang saudara sesama sendiri?

Bukankah sejarah telah menunjukkan kepada kita sekiranya pertelagahan antara golongan pemimpin yang berebut kuasa antara satu sama lain akhirnya membuka pintu kepada kuasa asing untuk merampas kemerdekaan yang dinikmati?

Kita telah pun ditunjukkan contoh kejatuhan Melaka, dan tiada iktibar yang diambil.

Lalu kita dihukum untuk mengulangi sejarah tersebut dengan kejatuhan satu demi satu negeri ke tangan penjajah pada abad ke-18.

Ingin sekali kami rakyat biasa ini bertanya kepada ahli-ahli politik yang kini menjadi pemimpin di negara ini. Mahu berapa kali tragedi berulang lagi untuk kalian mengambil iktibar dari peristiwa sejarah?

Adakah benar kata-kata Friedrich Hegel yang dipopularkan oleh Winston Churchill:

"The only thing that we learn from history is we learn nothing from history?"

Atau tidak kah kita mendengar kata-kata George Santayana: "Those who didn't learn from history will be doomed to repeat it?"

Sekali lagi tanyalah mana-mana rakyat biasa yang tiada kepentingan dalam politik. Apa yang mereka pilih dalam PRU13 tempoh hari ialah pihak yang mampu membawa aspirasi rakyat seperti yang telah diterjemah melalui kertas undi tempoh hari.

Ia bagi membawa kestabilan politik, ekonomi yang progresif, pentadbiran yang telus dan pembangunan sosio-budaya yang kompeten. Ahli politik janganlah hampakan harapan kami.

Untuk permulaan, tolong tutup mulut dan mulakanlah duduk bersama, demi rakyat seperti mana yang kalian laungkan sebelum PRU tempoh hari.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS