Mohd Noor, saya cakap benar, saya cakap benar

Saya merujuk kepada berita bertajuk "Mohd Noor: Apa yang benar, itulah yang saya cakap".

Saya amat tersentuh dengan kata-kata kesat berunsur perkauman yang disebut oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah di sebuah seminar di Kuala Lumpur berkaitan dengan kekalahan Umno pada PRU13.

Bagaimana kata-kata hasutan terhadap kaum Cina oleh seorang bekas hakim dapat dibuat dengan sewenang-wenangnya.

Malah Najib sendiri juga menyalahkan kaum Cina kerana Umno-BN tidak dapat menawan Selangor tetapi kehilangan tujuh kerusi parlimen berbanding dengan tahun 2008.

Begitu juga dengan kata-kata oleh Ahmad Zahidi Hamidi yang mencadangkan rakyat negara ini yang tidak setuju dengan cara pilihan raya umum dijalankan supaya berhijrah ke negara lain.

Kata-kata Zahidi yang dipengaruhi seorang mantan perdana menteri bukan saja tidak memadai seorang menteri kabinet 1Malaysia, tetapi memberi gambaran sikap buruk menteri Umno itu: sudah kalah pilihan raya hendak rakyat berhijrah.

Saya bercakap benar: ramai orang tidak akan menghormati bekas hakim rayuan, Mohd Noor Abdullah. Mohd Noor seharusnya tahu bahawa apa yang disebut-sebutkannya tidak akan membawa manfaat kepada negara dan rakyat.

Tetapi dia terus membuat dakwaan, sambil memetik dari Perlembagaan Negara, bahawa masyarakat Cina tidak taat kepada kerajaan Barisan Nasional.

Dalam satu wawancara bersama Helo Malaysia terbitan Bernama TV di saluran 502 Astro, beliau kemudiannya berkata, "Apa yang benar itulah yang saya cakap."

Dengan ini, saya juga akan menyuarakan ketidakpuasan saya terhadap bekas hakim yang dalam pandangan saya amat memalukan sahaja sistem kehakiman di negara ini, di mana seorang hakim sebegini boleh dinaikkan pangkat sehingga menjadi Hakim Rayuan.

Hakim yang mempunyai pandangan sempit seumpama ini tidak seharusnya menjadi hakim.

Saya bercakap benar: Sekiranya Mohd Noor berkata demikian dalam seminar antarabangsa, nescaya dia sudah dikecam kuat-kuat oleh para hakim-hakim yang bertaraf antarabangsa, tidak seperti di benua Umno.

Di sini dia dapat menjadi hakim rayuan, dan kemudiannya seorang ahli panel disiplin dalam parti Umno.

Mohd Noor memberi amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati. Pada pendapat saya dan saya bercakap benar, bukan saja orang Melayu, tetapi orang India, Kadazan, Iban, dan Cina juga akan membalas dendam sekiranya dikhianati.

Yang dikhianati selama ini, pada pandangan saya, adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan bukannya masyarakat Cina yang mengkhianati beliau, tetapi orang Melayu dan seorang mamak sendiri.

Inilah yang benar, dan perlu disuarakan, bukannya orang Cina yang mengkhianati orang Melayu dalam PRU ke-13, kerana kami bersama-sama dengan Anwar, seorang Melayu juga.

Yang turun ke padang bersama Anwar adalah bukan saja orang Melayu tetapi orang Cina dan India, seperti apa yang kelihatan di perhimpunan 505 kebelakangan ini.

Pada pendapat saya, zaman sudah berlainan, dan sekiranya Umno terus memainkan isu perkauman dan agama, maka ia akan dibenci dan diketepikan oleh rakyat Malaysia.

Ini sebenarnya apa yang berlaku kepada Umno-BNpada PRU13, sam ada diterima atau tidak itulah hakikat sebenarnya.

Semasa saya berkempen bersama-sama orang PAS, saya mendapati bahawa bukan saja orang Cina atau India yang sedar dengan tingkah laku kotor Umno-BN, malah orang Melayu sendiri pun benci dengan rasuah dan perbuatan jijik "UMNOputra" seperti Mohd Noor dan Ahmad Zahid.

Seperti Dr Mahathir Mohamad dan Najib Tun Razak, Mohd Noor terus menyalahkan masyarakat Cina atas kekalahan teruk Umno-BN dalam Pilihan raya Umum ke13.

Tuduhan Mohd Noor bahawa orang Cina telah mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu melalui usaha untuk merampas kuasa politik adalah satu tuduhan yang bukan sahaja menghasut masyarakat Cina, tetapi rakyat Malaysia sekalian.

Saya ingin bertanya kepada Mahathir, Najib, Zahid dan Mohd Noor, siapakah yang membantu Umno-BN pada ilihanraya Umum ke-10 pada tahun 1999?

Lihatlah sendiri pada waktu itu Najib pun hampir kalah teruk di Pekan, dan sekiranya bukan kerana kerusi-kerusi parlimen yang dimenangi oleh MCA dan Gerakan, BN dan Umno sudah pun lama terkandas.

Siapakah yang menyebabkan Umno-BN hampir terkandas melainkan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri?

Yang tidak tahu mengenang budi itu bukannya masyarakat Cina, tetapi pemimpin-pemimpin Umno sendiri selama ini. Hakikat inilah yang perlu disedari oleh orang-orang Melayu sendiri.

Siapa yang menyebabkan orang Cina seperti saya bencikan Umno dalam tujuh atau lapan tahun kebelakangan ini? Untuk pengetahuan Mahathir, bukannya PAS atau DAP, tetapi Mahathir sendiri yang sombong, bongkak dan tidak faham budi bahasa orang Melayu mahupun orang India dan masyarakat Cina, sehingga Tun Abdullah Badawi, seorang Melayu tulen, pun dikhianatinya.

Saya membenci Mahathir, disusuli dengan kebencian saya terhadap Umno-BN, oleh kerana saya tidak dapat menerima hakikat apa yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Pak Lah, Tan Sri Ani Arope dan akhir-akhir ini, Tan Sri Hassan Merican, bekas pengerusi Petronas.

Ketiga-tiga mereka adalah orang Melayu juga. Sama ada ini betul atau tidak, inilah apa yang disebut-sebutkan di kalangan rakyat Malaysia, bahawa kerana gilakan kuasa, Mahathir yang menyebabkan Pak Lah jatuh.

Sementara seorang pakcik Melayu memberitahu saya bahawa dia sudah lebih sepuluh tahun bencikan Mahathir. Seorang rakan dalam media massa pula memberitahu bahawa dia sudah benci pada Mahathir sejak dulu-dulu lagi.

Mahathir seharusnya boleh ingat lagi bagaimana dia menjawab wartawan tersebut, "Sekiranya tak nak bayar tol, baliklah tinggal di kampung."

Bukanlah PAS mahupun DAP yang menyebabkan orang ramai bencikan kepada Umno, tetapi Mahathir dan konco-konconya yang sudah merosakkan nama baik Umno yang sebelum ini dibina oleh Tunku Abdul Rahman, Bapa Malaysia.

Mahathirlah yang menyebabkan prestasi Umno merosot. Jika tidak percaya, lihatlah apa yang berlaku kepada kedua-dua konco yang disokongnya dan turut terkandas di tangan PAS.

Sekiranya orang Cina memilih PAS, di mana isu perkauman? Bukankah anak Nik Aziz dan Khalid Samad juga orang Melayu?

Saya juga cakap yang benar: Di Malaysia, tidak ada Bapa Pembangunan, kecuali Bapa Rasis dan Bapa Rasuah.

Di Malaysia, sejak Umno Baru ditubuhkan pada tahun 1987, yang ada tidak lain lagi adalah Bapa Penipuan dan Bapa Samseng.

Saya memetik pantun dari ahli Sasterawan Negara, Pak Samad, seorang Melayu tulen, yang menyatakan, "Di negara Hang Tuah sudah ada Hang Samseng!"

Sama ada orang Cina mengundi Umno atau PAS tidak seharusnya dipertikaikan oleh Najib.

Saya bercakap benar: sekiranya orang Cina ingin mengundi PAS, itu hak orang Cina. Sekiranya orang Melayu ingin mengundi DAP sepertimana kelihatan di Temerloh, itupun hak orang Melayu.

Hak-hak asasi inilah yang mana seorang bekas hakim rayuan ini tidak dapat lihat, kerana pandangannya yang sempit.

Sebagai warganegara Malaysia, saya sebagai seorang Cina, akan taat setia kepada Raja dan negara, bukan kepada mantan perdana menteri mahupun perdana menteri yang tidak mendapat mandat dari rakyat secara umum.

Dan Ahmad Zahid tidak seharusnya bercakap seperti Mahathir kerana pasti akan terus dikecam oleh rakyat pelbagai kaum pada abad ke-21.

Saya juga bercakap benar: Sekiranya kerajaan Barisan Nasional terus memainkan isu perkauman dan agama, oleh kerana ia sudah kehilangan keyakinan rakyat Malaysia, ke mana-mana menteri mahupun perdana menteri pergi, mereka juga akan mendengar bisikan rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional ini tidak sah dan rakyat menanti-nantikannya saat ia akan runtuh.

Tempoh 56 tahun adalah satu masa yang terlalu panjang untuk sebuah parti memerintah negara, dan inilah sebabnya tsunami rakyat Malaysia jelas kelihatan di PRU ke-13.

Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional akan jauh lebih teruk lagi sekiranya ia tidak mengaku kalah dalam PRU ke-13, kerana rakyat Malaysia pelbagai bangsa tidak akan memaafkan Umno-Barisan Nasional sekiranya dikhianati, dipermainkan dan ditipu secara terbuka.

Berbalik kepada Mohd Noor lagi -- sebagai seorang bekas hakim, Mohd Noor juga seharusnya lebih memahami bahawa tujuan perlembagaan negara adalah untuk menyatupadukan semua kaum.

Tetapi bekas hakim yang separuh masak ini tidak faham, malah seperti kata Lim Kit Siang, berniat jahat dan bertujuan melaga-lagakan keharmonian dan perpaduan kaum.

Sejak bila masyarakat Cina ingin merampas kuasa politik orang Melayu, sekiranya Kit Siang sudah pun dengan relanya menyerahkan kerusi Ketua Pembangkang kepada Anwar.

Bukankah perdana menteri juga seharusnya menjadi ketua pembangkang apabila kalah dalam PRU ke13 dan ketua pembangkang menjadi perdana menteri?

Sejak bila Kit Siang ingin menjadi perdana menteri Malaysia ketujuh?

Sekiranya masih tidak nampak kenyataan sebenarnya, maka saya juga akan bercakap yang benar, Mohd Noor Abdullah tidak seharusnya menjadi seorang hakim dalam sistem kehakiman yang arif di negara berdaulat ini.

Apa yang disebutkan di sini adalah keluhan seorang rakyat Malaysia, yang sebelum 2006 adalah ‘apolitikal' tetapi sudah berubah pandangannya berkenaan dengan politik negara selepas kelihatan kezaliman Mahathir terhadap Pak Lah.

Saya juga tidak dibayar untuk menulis surat ini, dan saya tidak sekalipun ingin merampas kuasa politik orang Melayu, malah menolong seorang calon PAS dalam kempen PRU13 sehingga pertama kali dalam 53 tahun, PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri tersebut!

Di sebaliknya, sekiranya Mohd Noor ingin memahami sentimen orang Cina, maka bacalah surat saya ini dengan pemikiran terbuka kerana saya juga bercakap yang benar dan yang benar itulah saya suarakan di sini.

Dan, sekiranya Ahmad Zahidi tidak setuju dengan apa yang disebutkan di sini, saya mengesyorkan dia berpindah ke negara 'Banglasia' kerana di situ mungkin Ahmad Zahidi boleh menjadi perdana menteri.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.