Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan segera menukar nama Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan.

Jika benar kerajaan jujur untuk memperbaiki dan melaksanakan falsafah pendidikan negara maka ia harus kembali mengguna nama Kementerian Pendidikan.

Kami berpendapat sangat besar ertinya makna pendidikan diguna kerana ia menepati maksud sebenar pembinaan insan dalam proses pendidikan.

Ia membawa maksud yang tepat mengenai matlamat dan proses pengajaran dan pembelajaran yang ada dalam istilah pendidikan itu sendiri.

Soal gabungan dua kementeraan yang berkaitan dengan pengajian di sekolah dan di institusi pengajian tinggi ia hanya persoalan pentadbiran. Sebenarnya memang pun di kebanyakan negara di dunia hanya ada satu Kementerian Pendidikan.

Sementara sektor pendidikan merupakan sektor yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia , maka konsep dan nama institusi dan agensi yang mengendalikannya perlu betul dan tepat.

Lebih dari hanya soal pentadbiran , apa yang lebih besar yang perlu diberi perhatian ialah matlamat yang hendak dicapai iaitu mendidik pelajar dengan proses pendidikan yang tepat sehingga menjadi insan yang baik .

Kami merasa kesal nama kementerian pendidikan telah ditukar kepada kementerian pelajaran sebelum ini pada tahun 2004.

Walhal ketika Kementerian Pelajaran di tukar kepada Kementerian Pendidikan, ia dibahas, diseminarkan dan didalami secara terperinci oleh pelbagai pemikir , ahli intelektual serta tokoh pendidikan negara.

Kini dengan gabungan kembali Pengurusan pendidikan di peringkat sekolah dan peringkat pendidikan tinggi, maka adalah wajar dikembalikan semula istilah Kementerian Pendidikan kerana ini melambangkan konsep asas yang sangat penting .

Ketika mana murid dan guru menghayati erti pendidikan yang sebenar, maka kami percaya kerangka berfikir seluruh warga pendidikan, ibu bapa dan rakyat amnya akan dapat diperbetulkan agar pendidikan dipandang mulia dan aspek terpenting dalam pembangunan negara.

Malah ketika istilah Kementerian Pendidikan diguna konsep kurikulum bersepadu yang dirangka dalam KBSR dan KBSM sudah cukup baik dan hanya memerlukan keiltizaman dalam perlaksanaan sahaja.

Malangnya oleh kerana politik telah menguasai pemikiran kerajaan malah diberi keutamaan lebih dari memelihara kemurnian pendidikan , konsep yang tepat telah dirombak tanpa asas yang kukuh.

Selama beberapa Menteri Pendidikan yang mengambil alih selepas tahun 1991 banyak perubahan pendidikan yang telah dilaksanakan telah dimansuhkan. Ini termasuk pemansuhan KBSR dan KBSM dan menukar nama kementerian.

Kami menegaskan antara kesilapan besar kerajaan ialah apabila politik dibenarkan campur tangan dalam urusan pendidikan sehingga soal nama Kementerian serta istilah pendidikan telah menjadi mangsa kepada kerakusan politik.

Kami dengan ini menegaskan penukaran Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan bukan isu kecil malah ia adalah isu besar untuk membentuk pemikiran yang betul mengenai tujuan dan pendekatan serta isi pengajaran dan pembelajaran para guru, pensyarah dan pelajar di semua peringkat.


Mohd Azmi Abdul Hamid presiden MAPIM. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS