Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

A ngkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor menyelar kejadian serangan yang dilakukan oleh hampir sepuluh orang yang dipercayai anggota Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan sekutu mereka ketika acara himpunan candlelight vigil untuk menyatakan rasa solidariti kepada Saudara Adam Adli di Pulau Pinang malam tadi.

Tindakan menyerang masyarakat prihatin yang hadir menyokong pembebasan Saudara Adam Adli adalah samseng, keterlaluan dan tidak ubah seperti binatang yang bertindak tanpa akal rasional. Kejadian ini sekaligus membuktikan bahawa budaya politik samseng sudah mengakar dalam Pemuda Umno.

AMK Selangor cukup yakin kejadian ini tidak akan mendapat perhatian pihak polis yang akan terus menjadi aparat pemerintah untuk mempertahankan kekuasaan mereka.

Justeru kita menggesa Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Saudara Khairy Jamaluddin segera mengambil tindakan yang tegas terhadap anggota Pemuda yang terlibat dalam kejadian malam tadi.

Tambah pula, sebagai menteri belia, beliau wajar memastikan golongan belia khususnya dalam Pemuda Umno melaksanakan agenda membanteras tindakan samseng yang kini mengakar dalam Pemuda Umno.

Harapan kita, budaya politik baru yang menolak asas gangsterisme menjadi asas kepada pembentukan landskap politik yang lebih baik. Semoga budaya politik samseng menjadi cemuhan masyarakat dan tidak diwariskan kepada mana-mana organisasi kepemudaan di Malaysia.


HAMSAH DJABIR timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Selangor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

 

ADS