Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Terima kasih Ismail Omar, tahniah Khalid Abu Bakar

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang telah dipilih sebagai Ketua Polis Negara berkuatkuasa 17 Mei 2013 bagi menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang bersara.

DPPM juga turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Bakri Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkuasa pada hari yang sama.

DPPM mengharapkan pelantikan Tan Sri Khalid sebagai KPN baharu akan mampu meningkatkan imej dan integriti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di mata dunia.

Isu-isu keselamatan terutama di sempadan negara seperti insiden pencerobohan di Lahad Datu beberapa bulan lepas menunjukkan PDRM sentiasa diberi perhatian serta tanggungjawab penting bagi memastikan kedaulatan negara tidak tercabar.

Selain itu, PDRM mempunyai tugasan besar memastikan jenayah dalam negara dapat dikawal atau dikurangkan. Rakyat sentiasa meletakkan suatu harapan bahawa negara ini selamat di bawah pemantauan PDRM.

DPPM percaya Tan Sri Khalid akan membina pasukan PDRM yang lebih mantap, berwibawa, amanah dan bersih dalam menghadapai cabaran mendatang.

Tan Sri Khalid juga diharapkan akan dapat membina kepercayaan dan hubungan baik antara kerajaan dan rakyat dengan mewujudkan semangat profesionalisme yang tinggi PDRM dalam menghadapi segala isu di negara ini dan bertindak berlandaskan undang-undang.

Akhirnya, DPPM juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Ismail Omar, Ketua Polis Negara yang akan bersara mulai 17 Mei 2013.

Sesungguhnya sumbangan beliau dalam memimpin PDRM di waktu mencabar telah membuktikan kewibawaan dan kepimpinan beliau selama ini.

Jasa dan pengorbanan beliau terhadap negara amatlah besar dan tidak mungkin dapat dilupakan dalam lipatan sejarah.


NASRUDIN HASSAN ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS