Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Usaha-usaha mencapai integrasi dan pembinaan negara bangsa perlu diteruskan dengan penuh komited, tanggungjawab dan berkesan oleh para penduduk pelbagai kaum, agama, etnik dan latar belakang di Malaysia.

Walaupun topik perpaduan sering diperkatakan oleh golongan politikus sejak dahulu, namun realiti politik perkauman dan parti-parti politik berasaskan kaum menjadi penghalang kepada niat mewujudkan integrasi pada erti kata yang sebenar.

Peserta "Dialog Perpaduan Kavyan" anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di Galeri Shah Alam, Persiaran Tasik, Shah Alam pada 16 Jun 2013 mendapati bahawa karya-karya sastera yang menampilkan citra budaya masyarakat pelbagai kaum dan ditulis menggunakan Bahasa

Malaysia mampu menjadi pemangkin utama ke arah mewujudkan persefahaman, rasa saling menghormati, sikap tolak-ansur, kemampuan menerima dan meraikan kepelbagaian serta sikap empati yang menjadi "ramuan" utama ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

Aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan sejak diasaskan pada 22 Ogos 1999 memang berada di landasan yang betul iaitu memupuk perpaduan dan integrasi ke arah pembinaan Bangsa Malaysia dengan menjadikan Bahasa Malaysia sebagai tunjang utama.

Kavyan juga menyelar mana-mana pihak (termasuk politikus dan golongan penulis) yang mengamalkan sikap perkauman, ultra kiasu, etnosentrik, fanatik dan diskriminasi.

Amalan golongan seperti itu menjadi penghalang kepada usaha murni golongan kecil (minoriti) seperti Kavyan dan masyarakat umum yang mengimpikan perpaduan dan integrasi.

Bahasa Malaysia dan sastera bahasa kebangsaan perlu ditonjolkan sebagai milik bersama.

Ke arah itu, golongan penulis pelbagai kaum perlu mampu menghasilkan karya-karya yang benar-benar menggambarkan citra Bangsa Malaysia yang meraikan kepelbagaian; tanpa sesiapa perlu

kehilangan identiti, jati diri dan budaya atas nama asimilasi.

Uthaya Sankar SB, Shahrulnizam Abd Hamid, Rayner Yeo, R Balamurali dan Kughan Nadarajah yang terlibat dalam sesi dialog berkaitan topik perpaduan, bahasa, sastera, agama, budaya dan sebagainya bersetuju bahawa adalah lebih baik jika Kavyan meneruskan usaha-usaha integrasi secara kecil-kecilan melalui aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya seperti dilakukan sejak 1999 tanpa perlu menunggu pihak-pihak lain melaksanakannya pada skala besar-besaran.

Kavyan berpegang teguh pada pendirian bahawa Bahasa Malaysia adalah wahana utama ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

Kavyan menyokong usaha "pupuk perpaduan, tolak perkauman, raikan kepelbagaian".


UTHAYA SANKAR SB presiden Kavyan.

ADS