Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Tersentak dengan pembekuan tajaan ke Universiti Al-Azhar

Pertubuhan Lepas Mahasiswa Mesir (Ilmam Malaysia) begitu tersentak atas kenyataan seorang ketua kerajaan sebuah negeri berkenaan pembekuan penghantaran pelajar tajaan ke Universiti Al-Azhar Mesir pada tahun ini.

Kenyataan tersebut yang dipetik daripada akhbar yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Said, menteri besar Terengganu, dalam menjawab soalan tambahan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung kelmarin adalah kerugian, sekali gus menggambarkan pendekatan yang akan diambil oleh kerajaan negeri dalam isu pendidikan.

Antara alasan yang paling besar ialah tentang sistem pembelajaran yang kurang efisyen yang diamalkan di Universiti Al-Azhar Mesir.

Sebagaimana dimaklumi, Universiti Al-Azhar yang merupakan institusi pendidikan tertua dan terulung di dunia membuktikan betapa ramainya graduan yang dilahirkan, khasnya dalam bidang agama.

Ini termasuk Dr Yusof Qardhawi, almarhum Dr Mohd Said Ramadhan Al-Buti, juga tokoh-tokoh tanah air seperti allayarham Dr Abdul Hamid Othman, Tan Sri Dr Wan Mokhtar Wan Ahmad dan Dr Abdul Aziz Hanafi.

Mereka ini pulang dengan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara khasnya dalam konteks pembangunan insan.

Hakikatnya, sistem pembelajaran yang ada inilah telah melahirkan ratusan malahan ribuan intelektual Muslim di seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri.

Ilmam Malaysia melihat pendekatan tersebut kerugian yang teramat besar kepada negara dan tenaga intelektual sendiri dalam usaha melahirkan modal insan.

Sudah tentunya mereka ini akan pulang ke tanah air memberi 1,001 bakti dan khidmat kepada pembangunan negeri dan masyarakat.

Di sesetengah tempat, para pelajar berebut-rebut untuk menjejakkan kaki ke universiti terulung ini untuk menjadi khadam ilmu dan berguru dengan para pendidik dan profesor yang mengajar pelajarnya yang datang daripada seluruh dunia.

Tidakkah tindakan kerajaan negeri Terengganu ini seolah-olah berundur ke belakang dan bertentangan dengan usaha kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam usaha menambah baik pembangunan Islam di Malaysia, bertepatan dengan transformasi kerajaan yang dibawanya.

Insya-Allah dalam masa terdekat, Ilmam Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan agensi kerajaan yang terbabit bagi membincangkan pokok permasalahan dan cara penyelesaian yang terbaik yang sepatutnya diambil oleh kerajaan negeri Terengganu.

Kemasukan pelajar ke Universiti Al-Azhar pada tahun 2013 akan bermula Ogos ini.

Ia seharusnya diambil perhatian oleh kerajaan negeri bagi memastikan tempoh yang ada ini dapat memberi ruang kepada para pelajar yang terlibat dan keluarga masing-masing untuk membuat persediaan sebelum berangkat ke Mesir.

Ilmam Malaysia juga bersedia menjadi penghubung antara para pelajar dan kerajaan negeri dalam urusan kemasukan para pelajar ke Universiti Al-Azhar untuk sesi 2013 dan sesi-sesi yang akan datang, termasuk ke universiti-universiti lain di Mesir.


DR AMINURRASYID YATIBAN presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam Malaysia).

ADS