Gesaan radikal, tindakan radikal perangi rasuah

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan gesaan unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri supaya perubahan lebih radikal dibuat dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah.

Bagi DPPM, usaha radikal Pemandu perlu digalakkan dan disambut baik semua pihak kerana Pemandu mewujudkan suatu kesedaran bahawa rasuah adalah jenayah dan musuh yang menghancurkan negara.

Jenayah rasuah tidak boleh dipandang ringan dan dibiarkan begitu sahaja sebaliknya perlu usaha bersungguh-sungguh bagi memeranginya.

PAS dan Pakatan Rakyat telah lama memberikan komitmen terhadap perkara ini dan sanggup bekerjasama bagi memastikan pelaku rasuah diambil tindakan sewajarnya.

Malah siri-siri pembongkaran terhadap kegiatan rasuah kerap dibuat bagi memastikan negara ini selamat dari gejala ini.

Pakatan juga sering menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai bukti sayangnya PR bersama rakyat terhadap negara ini dari dicemari oleh pelaku rasuah.

DPPM mencadangkan sekiranya Pemandu benar-benar mahu berusaha secara radikal dalam memerangi rasuah, maka tindakan susulan yang lebih agresif dan radikal juga wajar diambil termasuk terhadap semua golongan bermula dari pemimpin negara sehinggalah kepada rakyat biasa.

Tidak ada pihak yang terselamat di sebalik kuasa yang mereka miliki sekiranya mereka terlibat dengan rasuah.

Membanteras rasuah perlu dilakukan bermula dari pemimpin negara. Sebagai pemimpin kerajaan dan negara ini, pemimpin menjadi contoh teladan kepada rakyat untuk diikuti.

Rasuah tidak akan berjaya sekiranya pelaksanaannya hanya pada rakyat dan orang kebanyakan sedangkan golongan elitis dan pemimpin atasan dibiarkan melakukan sewenang-wenangnya.

Gejala rasuah akan menjadi barah dan budaya kerana rakyat mengikut kepemimpinan negara.

Rakyat mahu melihat keberhasilan Pemandu dengan tindakan terhadap golongan sasar.

Prestasi kabinet sesi 2013 dari kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri kali ini menjadi sandaran dan bukti benarkah rasuah benar-benar telah dicegah atau hanya sebuah lagi projek retorik untuk mengabui mata rakyat.


RIDUAN MOHD NOR ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.