Penahanan 14 aktivis bantah TPPA tak wajar

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk penahanan 14 aktivis Badan Bantah TPPA termasuk 11 aktivis yang ditahan ketika melakukan bantahan di hadapan Sutera Habour Kota Kinabalu, tempat rundingan TPPA yang penuh kerahsiaan berlangsung.

Manakala tiga lagi aktivis ditangkap di hadapan IPD Karamunsing ketika bersolidariti terhadap aktivis yang sedang ditahan.

SAMM melihat negara ini sudah kembali ke zaman prakemerdekaan apabila rakyat yang memegang sepanduk bantahan ditangkap dan diheret ke lokap.

Lebih malang apabila diketahui, penahanan 14 aktivis ini bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan OKT perlu menjalani ujian air kencing sebelum disoal siasat.

Ini satu penghinaan terhadap rakyat khususnya di Sabah.

Dalam isu TPPA ini, apakah lagi caranya untuk rakyat menyatakan bantahan sedangkan rundingan perjanjian tersebut dilakukan secara rahsia.

Di manakah saluran yang tepat ketika usul perbahasan di parlimen juga ditolak?

Sehari sebelumnya, SAMM turut berperanan menjayakan sebuah himpunan Bantah TPPA di hadapan Masjid Wilayah, Jalan Duta.

Penerangan mengenai TPPA disampaikan oleh beberapa pimpinan NGO dan mahasiswa seterusnya satu perarakan menghantar memorandum kepada wakil MITI di Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Duta.

Walaupun rundingan berlangsung di Kota Kinabalu bertujuan mengelak protes lebih besar, namun rakyat tetap menzahirkan bantahan sebagai petunjuk awal bahawa TPPA ditolak oleh rakyat Malaysia.

Masih ramai yang belum memahami sepenuhnya tentang bahawa TPPA mampu menggoncang kedaulatan negara.

Bagi SAMM, persoalan yang paling jelas, mengapa perbincangan perjanjian TPPA berlangsung dengan penuh kerahsiaan?

Jika benar rundingan dan perbincangan ini membawa seribu kebaikan terhadap rakyat Malaysia, sudah pasti rakyat dimaklumkan dari awal sebelum bermulanya perbincangan pertama.

Justeru itu, SAMM mendesak supaya kerajaan bertindak dengan lebih bertamadun dalam menghadapi siri bantahan TPPA yang lebih besar di masa akan datang dan mengingatkan bahawa rakyat punya saluran dalam perlembagaan yang membolehkan perhimpunan dan protes berlaku secara aman.


MOHD FAIZAL AB RAHMAN penyelaras hubungan antarabangsa Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.