Pada setiap pilihanraya, sama ada pilihanraya kecil atau umum, jentera kerajaan seperti Jabatan Kerjaraya (JKR), RTM, Jabatan Penyiaran, Polis, Jabatan Pendidikan, sekolah-sekolah dan pelbagai lagi, dikerah untuk membuat projek segera serta berkempen untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan biayaian wang pembayar cukai.
RTM, contohnya, walaupun dibiayai oleh wang pembayar cukai yang antaranya penyokong parti pembangkang, telah menjadi televisyen Umno dan BN. Kita semua tahu bahawa semua rakyat Malaysia membayar cukai seperti cukai pendapatan dan cukai jualan (membeli burger McDonald pun dikenakan cukai jualan lime peratus).
Mereka yang membayar cukai ini terdiri juga daripada penyokong dan pemimpin parti pembangkang (45 peratus daripada pengundi di Malaysia, mengikut perangkaan pilihanraya umum lalu).
Tetapi kenapakah jentera kerajaan yang dibiayai dengan wang cukai yang mereka bayar ini digunakan untuk menekan, memburukan, menyekat parti pembangkang yang mereka sokong, sebaliknya diminta pula berkempen untuk Umno dalam setiap pilihanraya?
Ini menjadikan penyokong dan pemimpin pembangkang sebagai warganegara kelas kedua Malaysia tetapi dalam masa yang sama, membayar pelbagai cukai sama seperti penyokong dan pemimpin BN/Umno.
Oleh itu saya cadangkan kepada penyokong serta pemimpin parti pembangkang supaya memboikot membayar cukai, terutamanya cukai pendapatan dan cukai perniagaan.
Seperti yang kita tahu, pembayaran zakat oleh orang Islam di negara ini serta pemberian derma akan mendapat pemotongan cukai pendapatan yang ditolak dari jumlah cukai pendapatan yang perlu rakyat bayar.
Dengan menggunakan mekanisma ini, kita boleh memboikot dari membayar cukai tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang kerana ia sah mengikut undang-undang negara.
Penyokong pembangkang yang beragama Islam bolehlah membayar zakat melebihi daripada kadar yang sepatutnya dibayar, iaitu 2.5 peratus, supaya sama dengan jumlah cukai yang perlu dibayar.
Contohnya, jika kita dikehendaki membayar cukai sebanyak RM2,000 dan zakat hanyalah sebanyak RM500, maka kita boleh membayar zakat sebanyak RM2,000 dan mendapat pemotongan cukai 100 peratus.
Dengan ini pembayaran zakat boleh digunakan untuk menggantikan cukai pendapatan dan wang yang kita bayar dapat dielak daripada digunakan oleh jentera kerajaan untuk berkempen untuk BN/Umno.
Jika umat Islam boleh beralih kepada zakat untuk tidak membayar cukai pendapatan, masyarakat bukan Islam juga boleh melakukan perkara yang sama dengan memberi derma kepada badan amal dan kebajikan yang diiktiraf oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapat pemotongan cukai.
Contohnya, jika kita perlu membayar cukai sebanyak RM3,000, maka kita boleh memberi derma sebanyak RM,3000 kepada badan-badan tertentu untuk mendapat pelepasan cukai dan seterusnya tidak perlu membayar cukai.
Selain itu, kita boleh mengurangkan daripada membayar cukai jualan dengan mengurangi pembelian barangan yang dikenakan cukai secara terang-terang seperti di restoran makanan segera yang mengenakan cukai jualan.
Dengan kaedah di atas, kita dapat mencegah diri daripada dituduh mengelak cukai kerana semuanya dibenarkan oleh undang-undang percukaian. Pada masa yang sama, kita juga dapat membantu mereka yang sangat memerlukan bantuan.
