Kisah Ravi dan Syiah

Dia adalah peminat Michel Foucault. Dia juga adalah peminat Ali Syariati. Kerana Foucault menulis tentang konsep perlawanan sewaktu Revolusi Islam Iran 1979, dan kerana Shariati adalah aktor yang berdiri di sebalik revolusi tersebut, maka dari sini seorang anak muda Tamil mula mendekati Islam.

Tidak seperti yang sering didengarnya dari media massa, Islam dalam pengamatannya adalah agama yang menawan. Islam dalam kaca mata peribadinya, rupa-rupanya masih mampu menjadi sumber kepada perlawanan. Bukan saja dalam melawan rejim totalitarian (politik), tapi juga dalam melawan kekuasaan rejim kapitalisme (ekonomi).

Menurutnya, dalam dunia mutakhir ini yang semakin kompleks, kekuasaan ternyata tidak lagi boleh diertikan sepenuhnya sebagai kekuasaan politik. Pada hari ini, kekuasaan boleh saja berupa dalam pelbagai bentuk. Dan tidak dinafikan, kekuasaan ekonomi sudah pun merayap dalam pelbagai bentuk, termasuklah dalam bentuk kekuasaan politik sekalipun.

Kini, kekuasaan ekonomi sudah seperti gula-gula, kalau boleh digambarkan begitu. Kuasa ekonomi mampu menarik segalanya menuju kepadanya.

Tapi, menurut anak muda Tamil yang selalu curiga dengan apa saja yang bernama kekuasaan ini, ternyata hanya agama saja yang masih tersisa untuk memberi saingan pada kuasa ekonomi yang sangat bermaharajalela ini. Dan, inilah yang dibuktikan menerusi Revolusi Islam Iran. Perlawanan agama akhirnya mengalahkan gabungan kekuasaan ekonomi dan kekuasaan politik Syah Iran pada ketika itu.

Dari latar inilah, anak muda Tamil itu mula melihat sebuah dimensi Islam yang menyegarkan. Sebuah Islam yang aktif. Sebuah Islam yang membangkitkan. Islam yang bernafas panjang seperti inilah, yang baginya amat diperlukan oleh dunia pada hari ini. Tidak ragu-ragu lagi, ini adalah Islam yang mampu memacu segenap potensi manusia. Tapi, malangnya mungkin, ini adalah Islam Syiah.

Malangnya kerana, Islam Syiah ini bukannya sembarangan Islam di Malaysia. Dalam perspektif agama arus perdana di Malaysia, ini adalah versi Islam yang dewasa ini dimusuhi dengan penuh prasangka dan tohmahan. Apakah Ravi, begitu anak muda Tamil ini ingin dikenali, dibenarkan untuk memeluk Islam Syiah di Malaysia ini?

Kalau ditanya kepada jabatan agama mana-mana pun di Malaysia, jawapannya pasti saja tidak.

Islam Syiah telah pun diharamkan dalam batas geografi Malaysia. Alasannya -- Islam Syiah ialah Islam yang sesat lagi menyesatkan. Tegas mereka lagi, Islam Syiah ini menjadikan para penganutnya leka dengan khayalan-khalayan, ritual-ritual dan melupakan dunia realiti. Pada Ravi, ini adalah penyataan yang terbalik dari apa yang difahami.

Padanya, Islam Syiahlah yang mengutamakan realiti. Kalau bukan kerana ingin mengubah realiti, maka takkan mungkin terwujudnya Revolusi Islam Iran. Peristiwa revolusioner itu saja, menurut Ravi lagi, sudah menjadi bukti yang paling nyata betapa Syiah, dalam sejarah kewujudannya, selalu bangkit menjadi anti-tesis kepada sesuatu yang telah dianggap sebagai beku, tepu dan rasmi.

Cintanya pada Islam Syiah ini sudah lahir dan sedang tumbuh dalam diri Ravi. Cintanya ini makin menebal lagi kerana versi agama inilah yang dianggapnya paling bersahabat, paling manusiawi, dan lebih penting lagi, yang paling revolusioner, seperti mana kesemua ciri ini telah terpotret dalam diri Syariati, ideolog Revolusi Islam Iran tersebut.

Saya fikir, kisah anak muda Tamil adalah sebuah kisah yang unik dan terpinggir.

Tapi kisah terpinggir ini juga menunjukkan kepada kita betapa sesuatu yang kita anggap sebagai agama formal, boleh saja menjadi penghalang kepada perkara-perkara kebaikan. Agama di Malaysia, barangkali dari pengalaman Ravi ini, sudah menjadi satu agama kerasmian dan kepartian semata, yang hanya bernafas ketika majlis-majlis kerajaan dan aktiviti-aktiviti kepartian, dan citra ini ciri sama sekali tidak menarik minatnya.

Dalam hal ini, Ravi benar. Sebab, apakah agama arus perdana seperti ini dapat memberi inspirasi kepada para penganutnya untuk menjawab (secara aksi) kepada persoalan rasuah NFC, PKFZ dan sebagainya? Sulit dibayangkan. Justeru, jika beginilah wajah agama arus perdana di Malaysia, maka apakah akan ada lagi anak muda bukan-Islam yang lain berminat dengan agama arus perdana ini? Memang lagi-lagi tidak terbayangkan.

Apatah lagi, di Malaysia pada hari ini, "yang jahat" itu selalu berselindung. Dan pelindung yang paling digemarinya adalah bernama "yang baik". Kerana agama itu selalu dianggap kebaikan, maka kejahatan suka menggunakan agama sebagai topeng untuk membenarkan kejahatannya.

Sebagai contohnya, budaya rasuah yang berlambak ini. Sama ada secara persepsi mahupun realiti, budaya rasuah adalah bukti betapa agama arus perdana sudah tidak lagi bermaya dan gagal menginspirasikan para penganutnya untuk melawan barah ini.

Bertitik tolak dari kesedaran inilah, Islam Syiah adalah jawapan terbaik, setidaknya menurut Ravi. Bahkan, anak muda revolusioner ini turut menganggap hanya agama yang bersifat perlawanan, seperti Islam Syiah tersebut, saja yang dapat boleh memulihkan kembali fungsi agama yang memikat dan mengerakkan. Inilah yang benar-benar dipercayainya.

Bagaimanapun, apa yang dipercayainya --Islam Syiah ini-- adalah terang-terang sebuah dosa dalam erti agama arus perdana di Malaysia.


DZULKHAIRI ABDUL MANAF mahasiswa yang terlibat dengan aktiviti JERIT dan kemanusiaan.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.