Saya gembira kerana Pemuda Umno akhirnya memahami kepentingan perbicaraan dan perdebatan bebas. Internet adalah satu-satu caranya di mana rakyat Malaysia (dan sesiapa juga) yang mempunyai pandangan dapat mengutarakannya tanpa halangan. Sememangnya ini adalah untuk kebaikan rakyat Malaysia.
Saya ada beberapa soalan untuk Pemuda Umno, parti komponen BN yang lain dan juga para cendekiawan. Saya lahir pada tahun 1972 dan tidak begitu faham sejarah dan dinamik di belakang pembentukan Malaysia, baik pada tahun 1957, 1963, 1965 dan 1970.
Oleh itu, saya harap Pemuda Umno (terutamanya) dan para cendekiawan dapat memberi pandangan mereka kepada soalan saya di bawah ini. Harap menjawabnya secara objektif. Saya percaya jika wujudnya budaya dan tradisi perbincangan secara matang dan rasional, banyak pertelingkahan dan ketidaksefahaman dapat diatasi.
1. Apakah perbezaan di antara Orang Asli, orang Melayu dan kaum-kaum asal lain yang terdapat di Sabah dan Sarawak?
2. Apakah maksudnya bumiputera? Dan apakah kriteria yang digunakan untuk pemilihan menjadi bumiputera?
3. Saya juga percaya setiap agama menyatakan bahawa semua manusia adalah sama. Keistimewaan (pertolongan) hanya diberi kepada golongan yang lemah dalam masyarakat. Tidakkah hak keistimewaan orang Melayu bercanggah dengan semua yang dinyatakan di atas?
4. Saya juga ingin tahu apakah peranan parti-parti politik lain dalam Perikatan dan Barisan Nasional pada 1957, 1963, 1965 dan 1970. Adakah mereka bersetuju dengan apa yang telah berlaku sepanjang masa ini?
Saya faham isu ini menjadi punca utama kepada kebanyakan perdebatan terutama di kalangan generasi muda, jadi ia perlu dijelaskan.