Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu (DPPKB) membantah keras penganjuran program "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya pada Ahad lepas.

Program di Yayasan Kepimpinan Perdana ini telah dirasmikan sendiri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seperti sedia maklum, Kassim Ahmad merupakan pelopor golongan anti-hadis di negara kita seawal tahun 1980-an dahulu.

Buku tulisannya Hadis Satu Penilaian Semula dan Hadis: Jawapan kepada Pengkritik telah pun diharamkan oleh pihak berkuasa agama kerana telah menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan kemurnian akidah umat Islam.

Maka, sebarang bentuk penganjuran program yang boleh membawa kepada penyebaran fahaman sesat ini sewajarnya dicegah lebih awal oleh pihak berkuasa agama.

Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak JAWI perlu adil dan berani bertindak tanpa pilih kasih walaupun program itu dianjurkan oleh pihak yang berkait rapat dengan parti pemerintah.

Hal ini amat penting kerana individu yang menolak kesahihan hadis dalam keadaan waras dan sedar boleh membawa kepada hukum murtad.

Mereka yang bersekongkol dengan penganjuran seminar baru-baru ini perlulah disiasat dan diambil tindakan termasuklah individu yang merasmikannya.

Ini kerana ia secara tidak langsung merupakan satu bentuk sokongan secara terbuka terhadap penyebaran ajaran sesat yang mampu menggugat akidah umat Islam.

Pihak DPPKB juga amat mengalu-alukan hasrat tokoh-tokoh ulama yang telah tampil berani menyahut seruan berdebat dengan Kassim.

Kami percaya bahawa prinsip hukuman dan pendidikan tetap perlu dijalankan seiring.

Mereka yang terpesong ini perlu disedarkan dengan kaedah berhujah agar kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama ajaran golongan ini perlu disekat demi melindungi kesucian akidah umat Islam.


MOHD FARKHAN MD ZAIN timbalan ketua Pemuda PAS Batu.

ADS