Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada seluruh keluarga, sahabat handai, rakan taulan penumpang dan kru MH370 yang telah diisytiharkan berakhir oleh Perdana Menteri Malaysia tanpa mengira kaum bangsa warganegara ataupun agama mereka.

Tragedi ini mendapat perhatian seluruh masyarakat merentasi apa jua batasan geografi dan politik. Seorang waras fikiran sudah pasti akan turut merasai kepiluan yang sedang dihadapi mereka.

PPMM mengajak semua umat Islam agar terus berdoa agar Allah permudah pencarian pesawat tersebut dan dapat merungkai punca sebenar kejadian. Doa merupakan senjata orang mukmin dan insya-Allah akan kelak dimakbul Allah. PPMM juga memohon agar kita tidak terus menerus membuat spekulasi yang tidak berpaksikan kepada fakta demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Seluruh saf pimpinan dan kerabat ahli PPMM turut berkongsi kesedihan ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan krew pesawat tersebut. Namun hakikatnya betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

PPMM ingin menzahirkan keprihatinan kami dengan menawarkan khidmat mediasi yang berupaya memujuk dan mententeramkan ahli keluarga yang terlibat. Sejak lapan tahun yang lepas kami telah melatih lebih seratus orang mediator bertauliah dengan kerjasama pakar mediasi dari Australia.  Kemahiran mediasi bukan sahaja boleh digunakan untuk menyelesaikan pertikaian dua belah pihak tetapi juga dapat memberi ketenangan dan memujuk pihak yang gundah dengan apa yang sedang berlaku.

Mediator bertauliah ini amat berkemahiran dan telah dilulus ujian serta diberi pengiktrafan di peringkat antarabangsa. Apa yang perlu ditekankan di dalam proses ini ialah untuk meneruskan kehidupan pasca tragedi sedih ini. Kehidupan perlu diteruskan dengan memandang ke hadapan bukan mengikat diri dengan sejarah yang berlalu.

PPMM bersedia jika diminta untuk menamakan individu-individu yang mahir dalam aspek mediasi ini bagi membantu keluarga mangsa dari kalangan mereka yang boleh bertutur di dalam beberapa bahasa antarabangsa seperti Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil di samping Bahasa Melayu.

PPMM juga bersedia memberi sebarang bentuk bantuan nasihat perundangan kepada keluarga mangsa bagi mengetahui hak-hak mereka di sisi undang-undang domestik dan antarabangsa.

PPMM merasakan inilah sumbangan yang boleh diberikan oleh PPMM bagi mengurangkan trauma dan kesedihan yang dihadapi keluarga mangsa.  Untuk tujuan ini pihak kerajaan, Penerbangan Malaysia ataupun mana-mana badan yang berkaitan bolehlah menghubungi perantara kami Marlina Amir Hamzah (naib oresiden PPMM) di talian 0193886054.

Atas rasa keinsafan dan simpati ini, sekali lagi PPMM mendoakan agar kemelut yang sedang dihadapi ini akan dapat diselesaikan segera. Mudah-mudahan ia menjadi iktibar kepada kita semua dan kita terima takdir seadanya.


DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia.

ADS