Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Setelah membaca perutusan Dr Syed Husin Ali, keyakinan saya kepada pihak alternatif pulih kembali. Setelah beberapa lama tidak kedengaran perutusan yang merupakan wadah perjuangan Barisan Alternatif, saya merasakan ini satu 'darah baru' dari seorang pemimpin yang tidak mengenal penat lelah untuk memperjuangkan nasib masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, saya ingin bertanya beberapa soalan kepada Dr Syed Husin. Jikalau Barisan Alternatif (BA) menjadi pemerintah, adakah perdana menteri akan dipilih dari parti yang terbesar dalam BA?

Jikalau ini berlaku, mungkinkah perdana menteri dilantik dari PAS? Jikalau PAS memerintah, adakah mereka akan menukar Perlembagaan Negara mengikut kehendak mereka? Jikalau pindaan Perlembagaan Negara dibentangkan di parlimen untuk ditukar kepada perlembagaan hudud misalnya, adakah rakan-rakan dalam BA akan menyeberang dan tidak menyokong perlembagaan tersebut?

Saya rasa Dr Syed Husin harus menjelaskan perkara ini kerana senario ini akan berlaku sekiranya rakyat menggulingkan Barisan Nasional (BN). Dan kemungkinan tersebut bukan mustahil.

Saya merasa lega apabila terdapat berita bahawa gabungan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Keadilan akan memperjuangkan pemerintahan sekular kembali. Soalnya, adakah PAS bersetuju dengan pegangan ini?

Apa yang merisaukan ialah BA bercanggah pendapat mengenai bagaimana untuk memerintah negara. Tidak ada satu manifesto bersama antara keempat (atau tiga?) komponen parti tersebut. Saya rasa, jikalau Dr Syed Husin dapat menjelaskan pendirian BA dan disokong oleh kesemua parti komponen BA, saya rasa tidak mustahil kita boleh menukar kerajaan.

Orang Melayu yang tidak bersetuju dengan pemerintahan Umno beserta golongan bukan Melayu, boleh disatukan jika parti komponen BA berjanji untuk tidak menegakkan kerajaan Islam di negara ini. Ini merupakan soalan pokok yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Selepas itu, bola boleh digolekkan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS