Saya amat tidak bersetuju dengan pendapat Shaukat Ali mengenai isu perkauman. Walaupun mungkin terdapat negara maju di dunia yang masih mengamalkan sifat perkauman dalam segala urusan seharian, saya amat yakin ianya hanya berlaku di peringkat individu dan komuniti tetapi tidak diinstitusikan seperti di negara ini.
Saya sebagai orang Melayu-Islam sangat percaya bahawa elemen perkauman yang wujud di negara ini perlu diatasi dan saya percaya bahawa menyayangi orang yang tidak sebangsa dan seagama, juga pasti diberikan ganjaran pahala yang melimpah oleh Allah SWT.
Amat mengecewakan kerana perpaduan yang utuh masih belum wujud sepenuhnya di negara ini. Tidak sukar untuk mendengar ayat-ayat yang berbau perkauman terbit daripada orang Melayu Islam, terutama di kalangan rakyat bawahan.
Saya tidak pasti sama ada rakan-rakan dari bangsa dan agama yang lain juga ada mengatakan benda yang sama terhadap orang Melayu Islam. Jika ada, ia memperlihatkan wajah sebenar perpaduan kita.
Saya berpendapat bahawa usaha mengatasi senario yang menyedihkan ini bermula dengan membebaskan media kita. Menutup isu-isu yang dianggap penting sehingga tercetus peristiwa 13 Mei, isu mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), isu pendidikan dan sebagainya adalah antara penyebab utama.isu sebenar harus dilihat dan dibincang secara terbuka seperti di malaysiakini .
Saya dapat melihat terdapat perkaitan di antara isu-isu tersebut dengan senario sekarang - lahirnya generasi muda yang telah dididik oleh ibu bapa mereka untuk tidak bergaul dengan rakan yang bukan sebangsa atas pelbagai alasan.
Diharap, golongan masyarakat pelbagai kaum yang telah menyedari faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya sikap perkauman di kalangan kita supaya dapat mendidik dan menyebar luas idea kepada rakan-rakan, sepertimana yang saya sentiasa lakukan, akan kejinya sifat perkauman ini.
