Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Ianya diterbitkan secara sembunyi tanpa menimbulkan perhatian orang ramai. Kemudian ianya 'dilarang', tetapi ini tidak dapat bertahan lama. Tidak lama kemudian, penerbitannya tiba-tiba menjadi topik hangat, bukan sahaja dalam media aliran utama, tetapi juga dalam media eletronik, khususnya malaysiakini.com.

Dalam sejarah versi kerajaan negara ini, Chin Peng merupakan satu kata nama khas yang sangat kontroversial. Beliau merupakan pemimpim Parti Komunis Malaya (PKM). Dengan ini, sudah memadai untuk sejarah versi kerajaan negara ini mencatatkan namanya untuk tatapan generasi akan datang.

Walaupun begitu, hampir tiada apa yang baik dan betul terhadap Chin Peng kerana selalu dikaitkan dengan sejarah keganasan PKM dan disamakan dengan identiti "pengganas", sama seperti Dong Jiao Zong, al-Maunah, KMM dan sebagainya.

Memang ia bukanlah satu nama yang harum. Mungkin kerana inilah, penerbitan buku "Alias Chin Peng: My Side of History" (Terjemahan: Alias Chin Peng: Sejarah Dari Kaca Mata Saya") menghadapi begitu banyak liku. Mungkin segala-gala ini telah dijangka berlaku.

Dalam konteks yang berlainan, penerbitan buku ini perlu dilihat sebagai usaha warga-warga lama negara ini untuk menceritakan sejarah 'versi' mereka, yang kebanyakannya berlainan daripada sejarah versi kerajaan.

Ini secara langsung membekalkan perspektif sejarah yang berlainan kepada generasi muda, yang kebanyakannya tidak pernah mengharungi era Pendudukan Jepun, Darurat, Konfrontasi serta Peristiwa 513.

Ini boleh dibuktikan dengan kelarisan buku-buku sedemikian apabila ianya dipasarkan. Fenomena ini sebenarnya sudah dijangkakan, kerana sudah sekian lama warga muda negara ini hidup dalam konteks sejarah kerajaan. Mereka telah sekian lama kehilangan versi sejarah alternatif yang dilahirkan oleh mereka dari zaman dahulu.

Pedebatan yang begitu rancak adalah satu fenomena yang positif dan menarik walaupun kerajaan terpaksa membiarkan buku ini dipasarkan di Malaysia. Ini mungkin kerana pilihanraya sudah dekat dan kerajaan tidak ingin dilihat sebagai penyekat rakyat untuk mendapat informasi yang lebih luas.

Buku ini mungkin mula mengubah pandangan sinis dan negatif rakyat terhadap PKM dan Chin Peng. Namum, daripada debat dan surat-surat yang diterbitkan di media, masih ramai yang menentang kepulangan Chin Peng.

Kebanyakan mereka memberi sebab PKM dan Chin Peng ialah pengganas (ataupun bekas pengganas dan telah membunuh saudara-mara mereka). Kepulangan Chin Peng ke tanahair bukan sahaja tidak disambut mereka, lebih-lebih lagi, kepulangan Chin Peng akan mengingatkan mereka terhadap pahit lama.

Ini mungkin benar. Tetapi secara logik, isu kepulangan Chin Peng ini perlu dipisahkan daripada soal 'keganasan' yang dinyatakan oleh kerajaan.

Kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989 telah menandatangani Perjanjian Damai Haadyai dengan PKM. Turut menandatangi perjanjian ini ialah Kerajaan Thai. Antara kandungan utama Perjanjian Damai Haadyai ialah PKM berjanji untuk menamatkan perjuangan bersenjata mereka.

Isu pokok yang hangat dibincangkan kebelakangan ini ialah sama ada termaktubkah atau tidak, dalam perjanjian berkenaan bahawa Chin Peng dan rakan-rakan seperjuangannya dibenarkan pulang ke Malaysia.

Mengikut memoir beliau itu, selepas perjanjian tersebut dimeterai, terdapat 330 ahli PKM pulang ke tanahair. Kerajaan Malaysia berjanji untuk membayar subsidi kehidupan sebanyak RM8,000 sekembali ke Malaysia dan wang saranan hidup sebanyak RM300 untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di tanahair.

Bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan adalah sesuatu yang munasabah. Prinsip yang perlu dipatuhi oleh ketiga-tiga pihak ialah keperluan mematuhinya. Namun begitu, keraguan yang timbul ialah adakah Kerajaaan Malaysia melaksanakan prinsip "double standard"? Sekiranya bekas ahli PKM yang lain dibenarkan pulang, mengapa tidak Chin Peng?

Pada dasarnya, ini ialah isu teknikal berkaitan pengkotaan janji dalam perjanjian yang sahih seperti Perjanjian Damai Haadyai 1989.

Adakah kerajaan telah mengotakan sepenuhnya apa yang dijanjikan? Atau kerajaan pernah berjanji untuk membayar subsidi seperti yang dinyatakan tadi? Adakah bekas ahli PKM perlu mematuhi apa-apa syarat yang ditentukan oleh kerajaan Malaysia supaya dapat pulang ke tanahair?

Fang Zhuangbi (pemimpim tinggi PKM dari Singapura) dalam memoirnya, pernah menyatakan Kerajaan Singapura dalam hal ini mengenakan syarat-syarat yang sangat ketat, misalnya mereka yang pulang ke Singapura, langsung tidak dibenar menyertai mana-mana parti politik, melaporkan diri kepada polis setiap hari dan sebagainya. Bagaimana pula dengan Kerajaan Malaysia?

Sekiranya Kerajaan Malaysia mengenakan syarat-syarat yang sama ketat terhadap Chin Peng dan Chin Peng sanggup menerimanya, maka Chin Peng memang dibenarkan pulang ke tanahair. Jadi, apa yang sebenarnya berlaku?

Pak Thir, Pak Lah dan kuncu-kuncunya perlu jelas bahawa adalah amat tidak munasabah dan tidak masuk akal sekiranya mereka tidak membenarkan kepulangan Chin Peng, dengan hanya berpandukan alasan bahawa beliau pernah mengancam keselamatan masyarakat Malaysia tanpa menilai permohonan beliau ini dari sudut perundangan dan kontrak.

ADS