Saya merujuk kepada surat Suresh Gnasegarah bertajuk 'Keadilan's silence over hudud' dengan memberikan beberapa hujah.
Pertama, saya percaya semua agama, bangsa dan kepercayaan menerima bahawa sesuatu undang-undang mestilah memenuhi beberapa prinsip keadilan sejagat.
Yakni tertuduh mestilah dibawa ke muka pengadilan, ada hakim dan mahkamah untuk membicarakannya, tertuduh dibenarkan membela diri dan apakala disabitkan kesalahan, proses rayuan diizinkan.
Undang-undang hudud yang dibentang, dilulus dan diwartakan di negeri Terengganu adalah sebuah undang-undang yang memenuhi semua prinsip keadilan sejagat yang dinyatakan tadi.
Lebih penting ianya diluluskan oleh sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat menerusi proses demokrasi. Manakala undang-undang tersebut apakala dilaksanakan akan berkuatkuasa ke atas orang Islam, bukan Islam seperti Suresh Gnasegarah tidak perlu bimbang.
Sebagai seorang muslim yang tinggal dalam sebuah negara demokrasi yang menjamin kebebasan beragama, saya pelik kenapa saya harus dihalang daripada melaksanakan tuntutan agama saya.
Pendirian mana-mana parti politik sama ada Keadilan, DAP, Umno, PAS atau sesiapa sahaja pemimpin - Dr Mahathir Mohamad, Karpal Singh, Haji Hadi Awang, Abdullah Ahmad Badawi atau Nik Aziz Nik Mat - jangan sampai dibaca menafikan hak saya dan orang Islam yang lain daripada melaksanakan tuntutan agama.
