Saya merujuk kepada surat saudara Azizi yang menyatakan Dokumen Negara Islam PAS gagal memberikan penjelasan bermakna. Saya melihat saudara Azizi sendiri, sejak awal lagi, tidak jujur dengan penelitiannya. Beliau gagal melihat kepincangan negara dan agama Islam di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Beliau nampaknya tidak mahu faham hujah Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang secara terus terang menyatakan selama ini, walaupun di Malaysia, terdapat peruntukan mengenai Islam dalam Perlembagaan, tetapi ternyata Islam masih lagi kecil dibandingkan dengan hasrat PAS sepertimana yang terkandung dalam dokumen itu. Bandingkan pernyataan 'Islam memerintah" dengan "Islam diperintah" sebagaimana amalan selama ini.
Saya juga ingin menarik kesempatan di sini untuk menjelaskan kekeliruan akhbar-akhbar perdana yang sengaja memainkan isu untuk menunjukkan seolah-olah PAS tidak faham tentang perjalanan undang-undang negara.
Mereka menjelaskan, sepertimana tuntutan PAS dalam dokumen itu, undang-undang negara selama ini memang berjalan secara dualisme, iaitu undang-undang syariah dan undang-undang Persekutuan.
Apa yang mereka gagal fahami adalah undang-undang Islam yang bakal diadakan itu akan meletakkan Islam di tempatnya yang syumul, tidak sebagaimana undang-undang syariah hari ini yang menurut Tuan Guru Abd Hadi memakai formula 3, 5, 6 (tiga tahun penjara, lima ribu ringgit denda, dan enam kali sebatan).
Malaysiakini.com juga kelihatan tidak mendokong perjuangan PAS dengan lebih banyak menyiarkan kritikan-kritikan yang menentang pengisytiharan dokumen tersebut. Sedangkan, hakikatnya Malaysiakini sendiri tahu bahawa hanya parti PAS sahajalah yang boleh diharapkan mampu bergerak dalam mengimbangkan kuasa drakonian kerajaan Barisan Nasional.
Dalam pada itu, PAS mengakui sumbangan parti-parti lain dalam gabungan Barisan Alternatif, serta DAP.
Sebenarnya, apa yang cuba dimainkan oleh Malaysiakini adalah berbahaya kepada kesepaduan pembangkang dalam menumbangkan BN. Sudah pastilah para pembaca akan mendapat gambaran kononnya pihak pembangkang di ambang perpecahan sedangkan hakikatnya, kita mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menumbangkan BN kali ini, kerana lawan kita bukan lagi Dr Mahathir tetapi BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sebenarnya, Umno dan BN dalam keadaan perpecahan yang sangat parah. Lihat sahaja bagaimana kenyataan ketua pengarang akhbar The New Straits Times (NST) dan Berita Harian (Tan Sri Abdullah Ahmad) Sabtu yang lalu bahawa sekiranya Datuk Seri Najib Razak tidak dilantik timbalan perdana menteri, kemungkinan besar Pahang akan jatuh ke tangan pembangkang. Ini adalah suara hati orang kuat Umno dan media Umno yang terbesar.
Masyarakat India juga sedang mengalami perpecahan yang hebat di antara presiden MIC, Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Progresif Rakyat (PPP). Begitu juga dengan parti MCA, siapa kata pergolakan team A dan B sudah selesai. Bacalah akhbar-akhbar Cina, isu ini sentiasa sahaja menonjol ke permukaan.
Jadi, siapa kata BN kuat. Sebenarnya, BA dan DAP lebih berpotensi sekiranya disusun kekuatan secara terperinci. Sekiranya diteliti secara lebih terperinci, Dokumen Negara Islam sudah cukup menggariskan tentang hak-hak bukan Islam di negara Islam.
Hal ini selaras dengan strategi dua aras PAS, sepertimana yang diumumkan sebelum ini, bahawa di negeri-negeri yang bukan majoriti Islam, maka undang-undang sekular akan diterima pakai.
Dalam dokumen itu juga disebutkan bahawa rakyat bukan Islam sebenarnya lebih mempunyai kebebasan berbanding rakyat Islam yang tertakluk dengan undang-undang Islam. Orang bukan Islam lebih banyak pilihan.
Oleh itu, kepada Azizi atau sesiapa sahaja yang cuba mengkritik dan menentang pengisytiharan Dokumen Negara Islam tersebut, saya nasihatkan supaya kritiklah dengan ilmu. Tanpa ilmu sebagai pembimbing, saya ragu kita kan tergelincir ke lembah kesesatan, semoga dijauhkan Allah SWT.
Menolak dokumen itu bermakna menolak Islam dan ajaran Allah, kerana jelas terpampang bahawa semua yang ditulis dalam dokumen itu disokong oleh ayat al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
Kepada masyarakat bukan Muslim, PAS sentiasa terbuka pintunya untuk sebarang teguran sebagaimana yang dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abd Hadi.
Jadi, sebelum membangkang yang hanya membawa kepada lebih banyak perselisihan, elok sahaja dirujukkan sebarang masalah kepada pihak tertinggi parti untuk sama-sama dicari penyelesaiannya, bukannya menyiarkan melalui akhbar ataupun laman web.
