Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memelihara sumber air bagi memastikan pembangunan mapan di negara ini selain untuk mengelakkan pencatuan air akibat fenomena El-Nino," kata Pengerusi Persatuan Rakan Alam Sekitar Hijau dan Biru, Dr Wong Ruen Yuan.

Beban yang dirasai akibat daripada pemindahan baldi air yang diisi daripada tangki air SYABAS; pembelian air mineral dalam bilangan yang besar; peningkatan pembelian makanan yang berpaket plastik ataupun tin; perubahan tempoh masa mandi daripada kira-kira 20 kepada 5 minit; adalah antara pengalaman buruk yang dialami oleh penduduk Kuala Lumpur dan Selangor akibat krisis air yang berlaku daripada bulan Februari sehingga April tahun ini.

Tidak dinafikan, bahawa pencatuan air yang dilaksanakan selama sebulan telah menyebabkan pelbagai jenis tekanan kepada penduduk di Lembah Klang.

Terdapat sesetengah daripada masyarakat Lembah Klang telah mula menyedari tentang kepentingan amalan menjimat air manakala masih terdapat sebilangan daripada mereka masih tidak mengubah amalan pembaziran air.

"Sikap masyarakat Malaysia yang terlalu “murah hati” dalam penggunaan air telah menyebabkan penggunaan air yang sangat tinggi per kapita," menurut Dr Wong.

Berdasarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada 2012, setiap rakyat Malaysia menggunakan purata air sebanyak 212 liter sehari di mana kuantiti ini telah melebihi had yang dicadangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu sebanyak 165 liter.

Sekiranya dibandingkan dengan negara jiran kita iaitu Singapura, purata penggunaan air per kapita hanyalah sebanyak 151 liter.

Menurut kerajaan negeri, sebab utama pencatuan air dilaksanakan adalah akibat daripada penurunan paras air yang drastik dan membimbangkan di beberapa empangan air utama seperti empangan Sungai Selangor.

Apa yang lagi membimbangkan adalah apabila beberapa pusat rawatan air tidak mampu merawat air yang dicemari ammonia yang tinggi kandungannya. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan isu alam sekitar peringkat global serta tempatan.

"Musim kering yang terlampau panjang adalah disebabkan oleh perubahan iklim manakala penurunan air sungai di bawah paras telah meningkatkan kepekatan kandungan ammonia yang disebabkan oleh pencemaran," menurut Jaron Keng, Persatuan Rakan Alam Sekitar Hijau dan Biru.

Sebanyak 37% orang daripada penduduk Sub-Sahara Afrika tidak mendapat sumber air yang bersih. Jumlah ini boleh dilihat daripada perspektif di mana satu dalam setiap lapan orang, ataupun 884 juta orang tdi dunia ini sedang menjalani hidup yang berisiko tinggi serta diancam dengan penyakit merbahaya akibat daripada sumber air bersih yang terhad.

Lebih daripada 3.4 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat daripada penyakit-penyakit yang berkenaan dengan kekurangan air yang bersih.

Walaupun 70% daripada Bumi diliputi dengan air, hanya 2.5% daripadanya adalah sumber air tawar (sumber yang boleh digunakan oleh manusia) dan selebihnya merupakan air masin. Daripada 2.5%, hanya kira-kira 1% daripada 2.5% tersebut boleh diakses oleh manusia dan selainnya merupakan air yang terperangkap dalam glasier dan padang salji.

Ini bermaksud hanya 0.007% sumber air di planet ini boleh digunakan untuk menampung keperluan manusia sebanyak 6.8 bilion. Menurut PBB, penggunaan air telah meningkat lebih daripada dua kali ganda kadar kenaikan penduduk pada satu abad yang lalu.

Menjelang tahun 2025, adalah dianggarkan bahawa 1.8 bilion orang akan tinggal di kawasan yang kekurangan air akibat pertumbuhan populasi yang drastik serta perubahan cuaca yang mendadak.

Di Malaysia, kebanyakan sumber air diperolehi daripada air sungai (97%) dan yang selebihnya (3%) daripada sumber air bawah tanah. Malangnya, sumber air tawar kita kian merosot.

Sebilangan sungai di beberapa negeri telah diisytiharkan "mati" akibat daripada pencemaran, seperti Sungai Sengget dan Sungai Ayer Merah di Johor, Sungai Jelutong di Pahang, Sungai Juru dan Sungai Prai di Pulau Pinang.

    

Menurut Dr Wong Ruen Yuan, salah satu punca penggunaan dan pembaziran air yang tinggi di Malaysia ialah tarif air yang rendah. Kebanyakkan rakyat melihat penggunaan air sebagai perkara yang remeh kerana sumber tersebut murah dan mudah didapati dari pili air.

Pada masa yang sama, ahli politik sering melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang memihak kepada pembangunan infrastruktur yang mengorbankan kualiti alam sekitar.

Cabaran untuk menerap nilai-nilai intrinsik alam sekitar menjadi lebih mencabar terutamanya di negara kita yang kesedaran menjaga alam sekitar masih rendah. Kerajaan lebih cenderung untuk menerima pakai pengurusan bekalan, daripada pengurusan berasaskan permintaan yang lebih bersepadu dan mapan.

Projek Pemindahan Air Pahang-Selangor merupakan satu contoh jelas yang dapat mencerminkan kekurangan kesungguhan ahli politik kerajaan dalam menguruskan bekalan dan penggunaan air dengan cara yang lebih holistik dan bersepadu.

Daripada memperkenalkan dasar lestari yang berjangka panjang yang dapat mengurangkan pembaziran air, kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri memilih penyelesaian yang berjangka pendek, memakan kos yang tinggi serta mengakibatkan banyak implikasi negatif seperti kehilangan biodiversiti.

Tambahan lagi, hanya kurang daripada RM10 million yang diperlukan untuk melaksanakan suatu perancangan pengurusan air yang menyeluruh bebanding dengan pelaksanaan Projek Pemindahan Air Pahang-Selangor yang akan memerlukan kos sebanyak RM9 billion.

"Pentadbiran dan pemimpin yang berintegriti merupakan kunci kepada pengurusan air yang mapan di negara ini," tambah Dr Wong.

ADS