Tuan Presiden,
Kami amat terkejut apabila membaca berita di dalam akhbar The Telegraph (UK), Rabu, 7 Januari 2004 yang menyatakan Pentagon dan CIA sedang menyusun Pasukan Polis Rahsia Iraq yang baru yang terdiri daripada kumpulan penduduk Iraq dalam buangan, pasukan Kurdis dan Syiah serta bekas ejen perisik Saddam yang kini bekerja untuk CIA. Peranan segera pasukan ini ialah untuk menghapuskan mereka yang disyaki menyokong penentangan rakyat Iraq.
Menurut laporan itu lagi, pasukan itu boleh mencapai keanggotaan sehingga 10,000 orang dan pada mulanya, gaji mereka akan dibayar oleh CIA yang mempunyai 275 pegawai di bumi Iraq. Pasukan itu akan menelan belanja sehingga AS$3 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang, dalam bentuk wang yang diperuntukkan kepada belanjawan CIA.
Bekas pegawai CIA membandingkan operasi itu dengan program Phoenix di Vietnam, yang dilancarkan pada 1967 untuk memusnahkan infrastruktur awam yang menyokong Vietcong, melalui pembunuhan dan penculikan secara rahsia, dengan kebenaran Washington.
Tuan Presiden, kami percaya bahawa Tuan menyedari sepenuhnya bahawa pembunuhan dan penculikan orang awam oleh tentera yang menduduki sesebuah negara, adalah jelas sekali dilarang oleh undang-undang antarabangsa dan merupakan jenayah perang.
Kami gagal untuk melihat bagaimana pentadbiran Tuan, dalam mengutuk rejim Saddam di Iraq dan Korea Utara sebagai negara penyangak, telah memilih untuk bertindak seperti seseorang yang mengambil undang-undang tambahan untuk membunuh dan menculik penyokong dan pemimpin penentang di Iraq.
Kami juga difahamkan bahawa penasihat Israel membantu melatih pasukan khas Amerika dalam operasi tindak balas pemberontakan secara agresif di Iraq, termasuk menggunakan pasukan pembunuh terhadap pemimpin penentang. "Perunding" tentera Israel juga turut mengunjungi Iraq.
Kerjasama Amerika dan Israel dalam usaha untuk menghapuskan penentangan di Iraq akan hanya menambahkan lagi perasaan marah di kalangan umat Islam dan Arab, terhadap Amerika dan mengesahkan syak wasangka mereka bahawa - selain mengawal minyak Iraq - pencerobohan itu juga bertujuan melindungi pendudukan Israel di bumi Palestin. Secara tidak langsung ia boleh membawa kepada meningkatnya keganasan di wilayah itu.
Tuan Presiden, laporan itu juga mendakwa Pentagon dan CIA telah memberitahu Tuan bahawa pertubuhan polis rahsia Iraq akan membenarkan Amerika mengekalkan kawalan ke atas negara itu apabila kedaulatan diserahkan kepada penduduk Iraq tahun ini.
John Pike, pakar belanjawan tentera khusus di Pertubuhan Keselamatan Global yang berpusat di Washington memberitahu The Telegraph: "Penubuhan polis rahsia yang berfungsi dengan baik, yang sebenarnya merupakan cawangan CIA, adalah sebahagian daripada strategi penyerahan umum.
Kehadiran polis rahsia yang berkuasa serta setia kepada Amerika bermakna rejim politik Iraq yang baru tidak dapat keluar daripada lingkaran yang ditetapkan oleh Amerika. Sebagai permulaannya, kerajaan baru Iraq "akan dilantik tetapi bukan untuk memerintah."
Tuan Presiden, usaha pentadbiran tuan untuk mewujudkan rejim boneka di Iraq adalah bertentangan dengan apa yang tuan sering ulangi bahawa pendudukan Amerika di Iraq adalah untuk mewujudkan kedaulatan, kerajaan demokratik yang akan menghormati hak asasi rakyat Iraq. Tidak terdapat demokrasi dalam negara polis, tidak kira siapa yang mengawal polis, baik Amerika mahupun Saddam.
Usaha pentadbiran Tuan untuk membentuk kerajaan yang menurut perintah Amerika di Asia Barat, tidak dapat tidak, akan melahirkan kediktatoran, pencabulan hak asasi manusia yang serius, konflik sosial dan etnik, serta keganasan. Tuan perlu mempelajari daripada pengalaman Amerika di Chile, Guatemala, Iran dan Filipina.
Oleh itu, kami menggesa Tuan supaya membatalkan rancangan untuk menubuhkan Pasukan Polis Rahsia Iraq dan mengakhiri kerjasama dengan Israel dalam membangunkan pasukan pembunuh untuk Iraq. Kami juga menggesa Tuan supaya menamatkan pendudukan di Iraq dan mengundurkan tentera Tuan dan juga pasukan sekutu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyediakan keselamatan di Iraq sementara menunggu perlembagaan dan pembentukan kerajaan demokratik melalui pilihan raya yang bebas dan adil. Kami menanti maklum balas daripada tuan.
