Most Read
Most Commented
Read more like this

Dakwaan 10 murid tahun lima dipaksa menduduki UPSR bagi pihak murid lain di sebuah sekolah kebangsaan di Jitra Kedah, jika benar, adalah amat memalukan. Sebenarnya, kesan negatif orientasi peperiksaan dalam sistem pendidikan negara sudah sampai ke kemuncaknya apabila golongan pendidik sendiri terasa bebanannya yang tidak tertanggung.

Perbahasan yang sudah berkali-kali diutarakan mengenai perlunya kita menilai kembali sistem pendidikan berorientasi peperiksaan, nampaknya masih belum menggerakkan tindakan yang berkesan.

Jika dilihat secara objektif, pendidikan yang sempurna menitikberatkan pendidikan dan pembentukan pelajar yang seimbang dan utuh. Yang menjadi fokus ialah keupayaan melahirkan pelajar yang mampu menggarap nilai keinsanan yang seimbang, antara akal, jasmani dan emosi, sekaligus mengguna potensi dirinya untuk berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Tatkala ini gagal dihasilkan, maka dapat dirumuskan bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan tersebut. Ini membawa kita kepada persoalan asas untuk apa kita melancarkan sebuah sistem pendidikan?

Jika jawapannya adalah untuk memperolehi gred dan markah yang cemerlang dalam bidang akademik dan kemudian dibanggakan sebagai kejayaan sistem tersebut, maka kefahaman kita terhadap pendidikan perlu diluruskan kembali.

Sebetulnya, inilah masalah kita yang sangat asasi. Walaupun segala idealisme pendidikan telah diperbahaskan di kalangan pemikir dan perancang daripada warga pendidik, telah semarak di pelbagai forum, namun guru, ibu bapa, pentadbiran dan juga pelajar, akhirnya tetap menjadikan kecemerlangan akademik sebagai pertunjuk utama kejayaan atau kegagalan suatu sistem pendidikan.

Pokoknya, pencapaian peperiksaan itulah juga yang tetap menjadi kriteria teratas untuk menilai sama ada sekolah itu cemerlang atau gurunya dinaikkan pangkat. Insiden seumpama ini, jika benar berlaku sebagaimana yang dilaporkan, belum tentu hanya berlaku di sebuah sekolah sahaja. Bagaimana pula sekolah yang lain, maktab dan universiti? Amat menyeramkan jika sistem pendidikan kita sudah menjadi sedemikian rapuh.

Ini belum lagi kita mengambilkira kes-kes lain yang membabitkan institusi pendidikan. Kita jangan lupa insiden pelajar bunuh diri kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, mahasiswa bunuh diri kerana tidak dapat kursus pilihannya, kakitangan jabatan menjual dan membocorkan soalan pepriksaan kerana ingin mengaut keuntungan.

Ada juga sekolah yang mengurung pelajar lemah agar tidak mengambil peperiksaan untuk memastikan pencapaian sekolah tidak terjejas dan mahasiswa yang membeli sijil untuk mendapat peringkat sarjana di universiti.

Kita boleh terus menyenaraikan masalah-masalah ini tetapi ianya tidak akan bermakna jika ubat yang kita beri ialah untuk merawat sindrom atau natijah, tetapi gagal mengatasi puncanya. Apa perlu dilakukan segera ialah untuk bersungguh-sungguh melihat punca dan asas masalah pendidikan itu sendiri.

Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan sepatutnya menjadi agensi induk yang berani menilai semula asas-asas pendidikan itu di semua peringkat. Perlu dibuat suatu penilaian untuk mengukur secara betul, kecemerlangan sistem peperiksaan sekarang. Malah, kaedah bagaimana kurikulum digubal, pendekatan ianya diajar, adakah ia terlalu memberatkan peperiksaan, juga perlu dinilai semula.

Soalan-soalan ini perlu dijadikan kriteria untuk kita melakukan suatu "overhaul" yang perlu ke atas sistem pendidikan. Kementerian Pendidikan tidak harus memberi reaksi spontan yang menumpu kepada tindakan tatatertib ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Apa yang lebih penting ialah mengkaji faktor yang mendorong pihak yang melakukannya. Dalam jangka masa panjang, tindakan memperbetulkan sistem itu sendirilah yang akan memulihkan kepincangan yang berlaku.

Kami menggesa semua pihak yang bertanggungjawab meneliti dengan cermat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menilai sejauhmana kita berusaha untuk mencapainya. Kita harus jujur dan mengakui kelemahan sistem pendidikan kita yang melahirkan pelajar yang kurang daya berfikir yang kritikal.

Jika kecemerlangan akademik terus menjadi satu-satunya kriteria pencapaian, maka kami tidak akan terkejut jika ada kes-kes sekolah lain menyembunyikan realiti yang sebenarnya berlaku di banyak institusi pendidikan lain diseluruh negara.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS