Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Parti Keadilan menyebut bahawa mereka akan bertanding di 72 kerusi Parlimen dan 160 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden Keadilan, Abdul Rahman Othman dalam satu kenyataannya baru-baru ini.

PAS juga nampaknya akan bertanding dalam jumlah yang hampir sama. Soalnya, kerusi manakah yang akan diizinkan PAS untuk Keadilan tandingi sekiranya mereka bersetuju dengan konsep 'pertandingan satu lawan satu'.

Banyak kenyataan oleh kedua-dua belah pihak, Keadilan dan PAS yang menyebut bahawa soal pembahagian kerusi antara mereka telah selesai dan berjalan dengan 'lancar'. Namun, dalam masa yang sama, sudah pastilah PAS tidak akan memberi jumlah kerusi yang banyak kepada Keadilan, khususnya kerusi-kerusi yang dianggap selamat kepada PAS di Kelantan dan Terengganu.

Sekiranya menjadi kenyataan sekalipun di mana Keadilan diberikan 72 kerusi Parlimen, semuanya hanyalah kerusi sisa, iaitu saki-baki kerusi yang PAS tidak mahu bertanding kerana dianggap membunuh diri, menjatuhkan maruah calon bertanding dan bakal kehilangan wang deposit.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sudah awal-awal lagi memberikan 'signal' bahawa PAS tidak akan memberikan banyak kerusi selamat kepada Keadilan kali ini. Beliau mahu Keadilan mempunyai sebuah negeri yang dikuasainya.

Ini menghantar makna tersirat bahawa Keadilan perlu mencari kekuatan mereka sendiri untuk memenangi pilihanraya kali ini, bukannya secara menempelkan diri di badan PAS untuk menumpang kekuatan parti itu di Terengganu dan Kelantan.

Keadilan, yang kini berada dalam keadaan 'retak menunggu belah', tidak mungkin mampu bergerak atas kekuatan sendiri, apatah lagi mencuba-cuba kerusi majoriti Melayu yang hampir pasti jatuh kepada Umno, umpama di Melaka, Negeri Sembilan ataupun Johor. Malah, adalah jauh sekali untuk mencium kerusi-kerusi Parlimen mahupun DUN di Sabah dan Sarawak.

Kalau begitulah keadaannya, Keadilan bukan sahaja boleh bertanding bukan disetakat 72 kerusi sahaja, malah sehingga 150 kerusi iaitu jumlah semua kerusi Parlimen ditolak dengan kerusi yang ditandingi PAS atas konsep satu lawan satu tadi.

Tetapi, takkanlah wakil-wakil Keadilan akan menjadi sebebal itu. Orang politik sangat pandai mengukur baju di badan sendiri. Malah, mereka juga bijak mengukur baju di badan parti mereka berapa saiz dan berapa kekuatan otot-otot bahu dan berapa bidang dada yang menjadi penanda kekuatan mereka. Mereka juga, dalam masa yang sama, pandai mengukur saiz baju yang dipakai oleh lawan mereka, L atau XXL.

PAS mungkin kelihatan kolot dan tradisional dalam ideologi, tetapi bukan dalam soal teknik berpolitik. Misalnya, dalam bab pembahagian kerusi, mereka sangat arif, lebih pandai daripada Keadilan yang baru setahun jagung dalam sepak terajang politik.

Mereka tahu kerusi mana yang perlu diberikan kepada orang lain, dan kerusi mana yang perlu mereka genggam erat-erat. Begitu juga dalam soal berkempen dan menyediakan manifesto.

Walaupun menyedari mereka bertanding tidak cukup kerusi Parlimen untuk mendapatkan majoriti mudah, apatah lagi majoriti dua pertiga, tetapi mereka senang-senang berkempen kepada pengundi mengenai hasrat mereka untuk menubuhkan kerajaan.

Di mana logiknya - bertanding tidak sampai separuh kerusi Parlimen - tetapi berhasrat menubuhkan kerajaan. Katakan semua calon PAS menang, maka terpaksalah mereka menubuhkan kerajaan campuran dengan DAP, malah dengan MCA pun.

Persoalannya, apakah MCA sanggup bergabung dengan menjunjung penubuhan negara Islam ala PAS yang tertera dalam dokumen negara Islam itu. Sudah pastilah jauh panggang dari api.

Oleh itu, dalam bermain api politik, maka eloklah berdepan dengan realitinya. Kalau kita hanya berdondang sayang kepada pengundi, itu tidak jujur namanya, kerana yang akhirnya menang dan benar-benar menikmati kemenangan perjuangan sedemikian, tidak lain tidak bukan, adalah wakil rakyat itu sendiri yang mendapat pelbagai kelebihan sebagai YB.

ADS