Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya merujuk kepada berita oleh Nash Rahman dalam malaysiakini yang menulis terdapat usaha-usaha daripada stesen TV3 untuk menghidupkan semula dialog antara PAS-Umno. Sebenarnya, sekiranya berita TV3 ditonton dengan teliti, story muzakarah sebanyak dua malam berturut-turut itu pun diasaskan kepada tulisan Dr Farish Noor dalam kolumnya di malaysiakini .

Manakala dalam sebuah akhbar tempatan hari ini-4 Februari secara agak emosional menyiarkan surat seorang bekas wartawan Bernama , saudara Farid Jamaluddin yang meminta supaya perpaduan Melayu bukan sahaja dibincang dalam ruang lingkup PAS-Umno, tetapi dimasukkan sekali Keadilan.

Secara peribadi, saya amat tidak bersetuju dengan usaha tersebut, kerana salah masa yang akan membawa kepada salah perhitungan, khususnya di pihak Umno. Apa perlunya muzakarah diadakan dalam masa beberapa 'minggu' sahaja lagi menjelang pilihanraya umum?

Saya percaya reaksi oleh kedua-dua pihak, yang menunjukkan kesediaan mereka berbincang (lihat kenyataan Hj Hadi Awang dan Muhamad Md.Taib-naib Presiden Umno dalam malaysiakini ) memanglah dinyatakan sedemikian untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kedua-dua parti berfikiran terbuka sedangkan gelombang di peringkat bawahnya sedia dimaklumi semua.

Misalnya, perdebatan di Dewan Bahasa antara Nazri dan Salahuddin suatu ketika dulu menunjukkan bahawa memanglah sudah tidak ada lagi titik temu antara PAS dan Umno. (Manakala di dewan yang sama, rakyat dapat menilai keupayaan dua 'ikon' parti Melayu berhujah dalam isu Palestine dan mereka sendiri dapat menilai siapakah yang lebih realistik dalam berfikir dan bertindak.)

Usaha mengadakan dialog itu sendiri pun sekiranya tidak pandai diurus akan dibaca sebagai merendah-rendahkan keupayaan pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah. Sudah pun ada sesetengah penganalisis politik (pembangkang) yang membaca usaha tersebut sebagai tanda ketidakyakinan Pak Lah menghadapi pilihan raya, sehinggakan perlu berdamai dengan PAS. Sedangkan hakikatnya Umno dan BN sekarang dilihat dalam keadaan penuh persediaan berbanding tahun-tahun pilihan raya yang lalu.

Malah, tidak sedikit yang mengakui dengan kestabilan Umno/BN sekarang serta kekacauan barisan pembangkang, BN akan hampir menyapu bersih kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara. Sekiranya ini terhasil, maka selepas pilihan raya itu nanti terbuktilah sokongan rakyat yang jitu dan tulin terhadap Perdana Menteri, sekali gus memudahkan tugas beliau mentadbir negara.

Secara peribadi, sejak mengenal realiti politik negara ini, khususnya politik PAS dan Umno, saya tidak bersetuju sekiranya dilakukan apa-apa usaha perpaduan, sebutlah muzakarah, perundingan atau apa pun, khususnya dengan parti PAS. Setelah mengkaji sejarah dan mengenali PAS, sebarang usaha sedemikian akan dilihat sebagai melakukan pengiktirafan berlebih-lebihan terhadap parti itu, seolah-olah PAS begitu berkuasa dan setaraf dengan parti pemerintah di Malaysia.

Sejak dahulu, apabila timbul isu mengenai Melayu, maka PAS akan mengajak Prerdana Menteri untuk berdialog. Walaupun atas kapasiti sebagai Presiden Umno, Presiden PAS sebenarnya tidak layak untuk berunding dengan Presiden Umno, kerana Presiden Umno adalah Perdana Menteri Malaysia.

Ini tidak boleh sama sekali dibaca sebagai kenyataan meninggi diri kerana itulah aturan dan diplomasi perundingan yang perlu difahami. Boleh sahaja Pak Lah misalnya bertemu dan berbual-bual dengan Hadi atau Nik Aziz secara kebetulan di masjid Putrajaya selepas sembahyang Jumaat, tetapi itu bukan muzakarah rasmi.

Sekiranya ada juga pihak-pihak Umno yang masih berminat hendak mengadakan dialog dengan PAS, bolahlah diadakan selepas pilihanraya. Kalaulah mengharapkan pertemuan itu diadakan sebagai strategi parti dalam ruang lingkup menghadapi pilihanraya, maka PAS juga akan mendakwa sedemikian kepada ahli-ahlinya. Mudahnya, kedua-dua pihak akan dibaca berpura-pura kerana sudah pasti segala keputusan muzakarah itu yang 'baik-baik' akan terburai menjelang kempen-kempen pilihan raya yang hangat.

Berilah peluang kepada PM untuk melihat sokongan sebenar rakyat kepada beliau tanpa bumbu-bumbu perpaduan dengan parti lawan. Selepas pilihanraya nanti, usahakanlah apa yang patut untuk perpaduan Melayu.

Tetapi, yang terbaik pada pandangan saya adalah sekiranya berlaku kemenangan hampir mutlak BN, sesuatu tindakan yang drastik dan radikal bolehlah dilakukan dalam ruang lingkup kuasa Parlimen yang ada terhadap parti yang memperalatkan agama ini, bukan lagi berunding-runding ataupun bermuzakarah yang ternyata remeh dan menyusahkan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS