Setelah berkali-kali menyeru agar rasuah dibanteras, sayang seribu kali sayang, seruan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak didengari oleh timbalannya sendiri. Alangkah terkejutnya kita dengan kenyataan Ketua Pemuda Keadilan Perak Zulkefli Helmi bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memberi sogokan wang sebagai balasan kepada pemimpin Keadilan selepas menyertai Umno.
Lebih menyedihkan lagi, tidak berapa lama dahulu, Najib sendiri menyatakan Umno tidak akan memberi rasuah ataupun insentif kewangan lain kepada pemimpin pembangkang yang menyertai Umno, sebaliknya hanya menerima mereka yang "ikhlas" berbuat demikian.
Peristiwa ini menunjukkan Umno masih merupakan sebuah parti yang mengamalkan politik wang. Tidak ada keikhlasan dalam perjuangan Umno. Pemimpin pembangkang yang diterima oleh Umno bukanlah mereka yang berprinsip, tetapi "mangsa kelaparan" yang tidak tahan dengan ujian dan tekanan hidup. Mereka terbukti mudah dibeli dengan wang ringgit.
Lebih menyedihkan, para pemimpin Keadilan yang dipelawa masuk oleh Najib itu akan mengeruhkan lagi politik Umno dengan perangai mereka yang gemar meminta-minta wang poket, projek dan pangkat. Mereka hanya akan bergerak jika usaha mereka dibayar. Sebaliknya, jika Umno gagal memberi habuan, suatu hari nanti tidak mustahil mereka berpaling tadah semula dan mencari sumber pencarian lain yang lebih lumayan.
Nama baik mereka ini sudah pun rosak dan rakyat Malaysia tidak lagi akan menaruh kepercayaan kepada mereka. Namun yang paling rugi ialah Najib sendiri.
Sepatutnya sekarang, jelaslah kepada Abdulah Ahmad Badawi, bahawa jika beliau serius ingin menghapuskan politik wang, orang pertama yang patut diambil tindakan ialah Najib, timbalannya sendiri. Hanya dengan berbuat demikian, barulah Umno dapat meloloskan diri daripada penyakit buruk politik wang.
