Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Pengkritik mungkin agen penjual kereta pesaing Proton?

Akhir-akhir ini, saya melihat semacam ada kecenderungan pihak-pihak tertentu dalam mengkritik kereta nasional pertama negara dalam banyak laman web, khususnya melalui ruangan surat pembaca mereka.

Saya faham, sebagai pengendali lamanweb bebas, malaysiakini menyiarkan semua pandangan sama ada berupa idea menyokong mahupun membangkang terhadap kebijaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Terakhir, kita membaca luahan hati Eric Koh yang mendakwa produk terbaru Proton, Gen.2 mengalami pelbagai kecacatan, yang menjejaskan popularitinya, walaupun dilihat begitu cantik dari luarnya.

Idea pengeluaran kereta Proton, termasuk di dalam idea besar kerajaan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi dasar perindustrian negara. Kritikan terhadap kereta nasional akhir-akhir ini mengingatkan semula saya kepada kritikan-kritikan awal sewaktu Tun Mahathir ingin memperkenalkan projek kereta nasional itu.

Bermacam-macam kritikan, termasuk daripada pakar ekonomi yang mendakwa pengeluaran kereta tersebut tiada dayasaing berbanding dengan syarikat gergasi lain yang sudah lama established.

Pakar-pakar ini juga mendakwa jumlah penduduk negara kita yang kecil tidak mampu menjadi pembeli produk sebuah kereta berteraskan nasional. (Mengambilkira hal inilah, saya fikir Proton mengubah logonya daripada bentuk bendera kepada logo kepala harimau).

Tetapi, kita jarang lupa kepada realiti tersirat di sebalik pengeluaran produk tersebut, iaitu dalam usaha memajukan negara, pentadbir sepanjang tempoh 20 tahun lalu, telah memikirkan bahawa Malaysia tidak akan selamanya bergantung kepada teknologi enjin dari luar negara.

Agak sukar untuk kita memahamkan kesemua rakyat kita, tanpa mengira kaum yang juga merupakan pembeli produk kereta nasional ini, bahawa tidak ada negara maju di dunia yang sudi berkongsi teknologi enjin ciptaan mereka dengan mana-mana pun negara lain.

Memanglah, daripada beberapa projek yang dijalankan kerajaan secara usahasama dengan beberapa negara seperti Jepun, Perancis dan Rusia, kita dapat memastikan berlakunya pemindahan teknologi.

Tetapi, kita jugalah yang menjadi juara mengkritik projek kerajaan itu, kononnya enjin Proton Tiara teknologi Perancis 10 tahun terkebelakang berbanding dengan teknologi kereta terbaru keluaran Citroen.

Oleh itu, pada bacaan saya, hasrat kerajaan pada zaman Tun Mahathir adalah ingin memiliki teknologi enjin sendiri, atas kesedaran bahawa tidak ada negara yang maju tanpa mempunyai kemajuan dalam bidang teknologi enjin. Daripada teknologi enjin, akan berkembang pelbagai macam teknologi yang lain.

Keupayaan Proton mencipta enjin sendiri perlu mendapat pujian. Dengan penciptaan tersebut, ia melengkapkan penghasilan sebuah kereta yang benar-benar boleh kita katakan sebagai jenama Malaysia.

(Saya faham memanglah tidak ekonomik kalau kita ingin membuat kesemua komponen kereta, termasuklah sistem brek dan tayarnya, kerana lebih baik menggunakan teknologi yang sudah sedia teruji sepertimana juga syarikat-syarikat pengeluar kereta gergasi Eropah).

Apabila membaca begitu banyak komen mengenai Proton, saya menjadi sedikit bimbang dan timbul juga perasaan syak di minda. (Semoga kebimbangan saya ini bukanlah hal yang benar-benar berlaku). Persoalan yang timbul adalah, bukankah bidang jualan kenderaan bermotor, khususnya kereta kelas penumpang merupakan sektor jualan yang paling rancak.

Sewaktu memadankan komen pembaca dengan suasana yang wujud semasa ini, khususnya selepas pengenalan Afta (antara implikasi awal dan sudah terasa kepada kita adalah berkaitan duti import dan eksais baru-baru ini), saya terfikir sebahagian komen tersebut mungkin berasas.

Semestinya apabila lebih 50 peratus kereta yang terdapat di negara kita adalah daripada jenama nasional, Proton atau Perodua, sudah pastilah kebarangkalian yang rosak juga adalah dari jenama Proton berbanding jenama lain.

Tetapi, tidak mungkinkah juga yang menghantar surat pembaca itu juga adalah agen wakil penjual kereta jenama pesaing Proton, yang cuba memanipulasikan ruangan dan jumlah pembaca yang besar di malaysiakini khususnya. Ingat, pembaca malaysiakini juga adalah pembeli atau bakal pembeli dan saya percaya mereka juga terdiri daripada bakal pembeli produk Proton atau Perodua.

Jadi, kumpulan ini sengaja merancang dan menulis komen sedemikian dengan harapan akan menjejaskan kredibiliti kereta nasional, seterusnya mengharapkan bakal pembeli memilih kenderaan jenama lain. Kepada saya, kaedah ini, sekiranya benar-benar dilakukan, adalah sangat tidak beretika.

Saya bukanlah tukang promosi Proton atau Perodua, tetapi saya menyifatkan diri saya sebagai 'seorang patriotik apabila menggunakan jenama kereta nasional', seumpama rakyat Korea Selatan yang begitu berbangga apabila memakai jenama Kia mahupun Hyundai.

Di Jepun, suatu ketika dulu, tersebar cerita bahawa hanya rakyat Jepun yang samseng sahaja (dikenali sebagai Yakuza) yang kurang patriotik dan akan menggunakan kereta jenama Eropah.

Oleh itu, rasanya kurang wajar kita membandingkan Proton dengan BMW atau Audi yang telah diasaskan hampir satu abad. Eloklah kita renungkan semula apakah peranan kita untuk mempercepatkan penciptaan teknologi di kalangan rakyat tempatan. Proton sebagai salah satu salurannya kepada pencapaian teknologi itu, perlu terus disokong daya hidupnya.

ADS