Dengan penuh tidak percaya saya membaca surat daripada Azizi Aziz mengenai kritikannya terhadap para pengritik kereta nasional Proton dan Perodua.
Walaupun membaca suratnya dengan hati yang terbuka, saya masih tidak dapat menyokong pendapat penulis mengenai kemajuan yang telah dicapai oleh pengeluar kereta nasional kita. Malahan setelah saya sendiri melihat model Gen2, saya bersetuju dengan beberapa pendapat Eric Koh mengenai qualiti kereta tersebut.
Azizi Aziz harus tidak terlalu beremosi terhadap pengkritik Proton dan Perodua kerana kebanyakan kritikan itu memang benar. Saya hairan bagaimana Azizi membandingkan Proton dengan Hyundai atau Kia, dengan tidak menyedari kemajuan yang telah dicapai oleh pengeluar kereta Korea ini, berbanding dengan Proton.
Malahan dengan 'tebal-kulit' kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan 'Naza-Ria' sebagai kereta nasional hanya dengan menukar logo daripada model 'Kia-Karnival'. Apakah sumbangan teknologi Malaysia terhadap ciptaan 'Naza-Ria'? Kenapa ini tidak disoal?
Adakah wajar untuk negara yang menginginkan status negara maju sebelum 2020 mengambil 20 tahun hanya untuk mencipta enjin kereta sendiri? Inikah aspirasi yang diperlukan oleh negara kita yang mahu menghantar anak Malaysia menuju ke bulan dan planet Mars? Jika penulis bangga dengan kemajuan Proton, mungkin kita harus menunggu 20 tahun lagi untuk Malaysia mencipta enjin sendiri untuk model seperti Kenari atau Kancil.
Yang lebih menyedihkan adalah kepuasan yang ditunjukkan oleh penulis dengan kemajuan Malaysia setelah 20 tahun berpengalaman dalam industri kereta. Jika kesemua rakyat Malaysia mencapai kepuasan seperti penulis, maka haruslah kita menambah 80 lagi tahun kepada visi 2020 untuk mencapai status negara maju!
