Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Penyokong PAS disaran kaji disiplin fiqh dan sejarah tamaddun Islam

Saya ingin mengulas sedikit mengenai isu yang dibangkitkan oleh saudara Rasyeed Han dalam tulisannya bertajuk 'Bukan Islam juga perlu dalami disiplin ilmu Islam'. Rasyeed mempertahankan hak penganut Islam mengamalkan agama sendiri dan menganggap ini sebagai hak asasi kebebasan beragama.

Yang hairannya ialah bagaimana PAS begitu ghairah meragut gelaran pejuang Islam di Malaysia, tetapi masih mampu mengabaikan pendapat ulama terpelajar al-Azhar. Berdasarkan kepada hukum hudud yang disyorkan oleh PAS, pendekatan fiqh yang didokong ulama PAS nampaknya lebih bergantung kepada taqlid berbanding dengan ijtihad .

Ini memang amat merisaukan memandangkan kebanyakan ahli sejarah Islam berpendapat ijtihad dan isnad , dua pendekatan yang menjadi norma dalam usul al-fiqh pada awal perkembangan Islam, mempunyai pengaruh besar dalam pembentukan kaedah saintifik yang menandakan permulaan zaman gemilang tamadun Islam dengan pencapaian yang mengkagumkan dalam pelbagai bidang.

Ramai cendekiawan masyhur berasal dari sekolah falsafah Islam awal, Mutazili, yang mempelopori perkembangan konsep ijitihad daripada usul al-fiqh kepada kajian sains. Ini termasuk Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina dan Ibn Rushd. Kesemua mereka ini memelihara dan memperkembangkan falsafah Aristotle dengan pemikiran Islam.

Terjemahan karya Ibn Rushd ' Commentaries ' memperkenalkan Aristotle kepada tamadun Kristian Barat dan seterusnya membawa kepada perkembangan rationalisme di Eropah yang akhirnya memuncak dengan era Renaissance. 'Summa Theologica', hasil karya ahli falsafah Kristian yang amat terkenal, St. Thomas Aquinas, banyak mengambil inspirasi dari karya Ibn Rushd.

Bagaimanapun, sekolah Ashari yang semakin bangkit pada kurun ke-12 menamatkan perkembangan falsafah dalam dunia Islam dan menghadkan aplikasi ijtihad dalam fiqh kepada golongan ulama, manakala pengunaan ijtihad bagi rakyat jelata, dibenarkan dalam bidang sains sahaja.

Pada masa yang sama, pendekatan ijtihad dalam fiqh mula diganti dengan taqlid , yang hanya meniru interpretasi ulama dahulu tanpa sebarang usaha untuk mengambil kira konteks ummah Islam terkini. Pendekatan ini disokong oleh empayar Ottoman bagi sebab-sebab politik kerana ia menyenangkan perkembangan empayar tersebut. Malangnya sekali, penutupan pintu ijtihad dalam kurun ke-12 dianggap antara faktor utama yang lambat laun menjejas keutuhan pemikiran cendekiawan Islam.

Ini seterusnya menyumbang kepada kemerosotan dalam perkembangan sains dalam tamaddun Islam, yang berakhir dengan kekalahan empayar Ottoman di tangan kuasa Barat 600 tahun kemudian.

Pada masa ini, semakin jelas ulama PAS tidak berupaya membuat ijtihad yang bernas dalam fiqh berdasarkan konteks masyarakat majmuk negara Malaysia (umpamanya menghalang masyarakat bukan Islam daripada menyambut perayaan budaya mereka di Terengganu).

Sebaliknya, mereka berpaling kepada taqlid dengan pengenalan hukum hudud yang sudah wujud sejak kurun ke-10. Tidak boleh dinafikan pemimpin PAS memang berniat jujur untuk menghapuskan masalah rasuah and politik kotor yang berleluasa di dalam kerajaan. Tujuan ini memang murni dan patut dijunjung rakyat jelata, termasuk sama umat Islam dan bukan Islam.

Namun, pada tanggapan saya, penganut Islam seperti Rasyeed Han dan penyokong PAS yang lain perlu juga mengkaji disiplin fiqh serta sejarah perkembangan tamaddun Islam dengan lebih teliti lagi agar dapat memahami kenapa timbulnya penentangan yang kuat, bukan hanya daripada masyarakat bukan Islam, malah segolongan besar masyarakat Islam juga.

PAS harus mengingati bahawa satu dasar yang penting dalam disiplin fiqh ialah ijma , iaitu persetujuan seluruh ummah Islam, dan bukan hanya yang tinggal di Kelantan atau Terengganu, dalam proses menggubal dan melaksanakan syariah.

Kalau memahami isu ini, barulah anda akan memahami kenapa parti seperti MCA dan MIC tidak akan bergabung dengan PAS, sekalipun PAS mungkin berjaya merangkul majoriti di Parlimen dalam pilihanraya umum kelak.

Barulah anda boleh memahami kenapa DAP keluar dari Barisan Alternatif (BA) dan bertungkus lumus menentang PAS dalam media massa dan di Parlimen, walaupun ini bakal menjejaskan peluang mereka dalam pilihanraya. Barulah anda dapat memahami kenapa orang bukan Islam di Malaysia tidak akan menerima PAS, walaupun betapa banyak seminar penerangan Islam yang akan dianjurkan oleh PAS.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS