Saya merujuk kepada surat Rasyeed Han yang bertajuk ' Bukan Islam juga perlu dalami disiplin ilmu Islam '. Bagi saya, tajuk tulisan ini pun sudah menunjukkan bagaimana keinginan orang PAS supaya Islam tafsiran mereka diletakkan sebagai sumber tertinggi dalam penentuan dasar-dasar negara.
Rasyeed sendiri merupakan contoh tipikal orang PAS yang lebih sederhana, jika ingin dibandingkan dengan orang PAS di kampung-kampung pedalaman, contohnya di Pasir Akar, Gong Duek di Jertih, Terengganu ataupun Gong Kelih atau Padang Luas di Pasir Puteh, Kelantan. (pembaca malaysiakini pastinya tertanya-tanya kerana mereka jarang mendengarnya).
Di kampung seperti ini, penduduknya masih diajar bahawa Umno masih lagi kafir atau sekular, sembahyang dua imam masih lagi dilakukan, hasil ajaran pemimpin mereka sejak lebih dua puluh tahun terdahulu.
Apakah mereka ini boleh diharapkan untuk menerima ajaran PAS yang sedikit liberal seperti Rasyeed. Dalam pada itu pun, Rasyeed adalah wakil daripada pemikiran Islam ekslusif yang begitu ramai dalam PAS.
Pandangan mereka, disebabkan Islam sudah menyediakan preskripsi kehidupan yang sangat lengkap, maka Islam berada di atas segala-galanya. Maka semua rakyat, tanpa mengira Islam mahupun bukan Islam, haruslah mengikut tatacara yang telah dipreskripsikan itu.
Contoh tindakan yang dilakukan berasaskan pemikiran Islam ekslusif ini ialah seperti peniaga bukan Islam di Terengganu dilarang berpakaian kurang sopan (dari ukuran/kaca mata PAS) sehingga akan ditarik lesen perniagaan, mahupun penyediaan lorong berasingan mengikut jantina di pasaraya antara lelaki dan wanita.
Seorang penulis, Umar Zain mendedahkan bahawa tindakan PAS ini sangat menyalahi ajaran Islam kerana ternyata di Mekah, umat Islam tidak dipisahkan sewaktu mengadakan tawaf di hadapan rumah Allah.
Perlu dijelaskan kepada Rasyeed, kepada orang PAS mahupun kepada semua pembaca yang Islam mahu pun bukan Islam, bahawa pandangan Rasyeed itu hanyalah satu cabang pandangan daripada sekian banyak pandangan dalam Islam. Banyak lagi pandangan lain, yang lebih menghormati hak dan pandangan kumpulan kumpulan lain, termasuk bukan Islam.
Kepada golongan ini, Islam adalah "rabbul alamin"- untuk kesejahteraan semua manusia. Kalau Islam menghasilkan keadaan tidak sejahtera, bukan Islam namanya. Realitinya, perkara-perkara inilah yang membentuk negara Malaysia hari ini.
Merujuk kepada jawapan Rasyeed, sekiranya umat Islam perlu memahami lebih mendalam tentang Islam, bukankah adil dan demokratik kalau kita meminta umat Islam juga belajar kitab-kitab Taoisme, Baghavad Gita mahupun ajaran-ajaran Budha dan Kristian dalam rangka memahami cara fikir mereka.
Tentunya orang seperti Rasheed dan orang PAS yang lain juga, akan menolaknya dengan alasan, Perlembagaan Negara secara jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan agama-agama lain dilarang didakwahkan kepada orang Islam.
Dengan itu, apakah pemikiran yang seharusnya diikuti oleh masyarakat Islam di Malaysia dalam menjaga keharmoniannya. Apakah pemikiran taksub yang dicontohkan pengikut PAS kampung mahupun PAS moden seperti Rasyeed, ataukah pemikiran Islam toleransi yang telah dibuktikan keberkesanannya lebih lima puluh tahun itu?
Rasyeed juga menyentuh mengenai peranan ulama yang katanya hanya mereka sahaja yang boleh mentafsirkan ajaran Islam. Ulama ini bertindak sebagai penjaga akidah umat Islam.
Kenyataan ini boleh dipakai dalam keadaan ulama tidak berpolitik dan menjadi rujukan yang neutral. Ulama begini masih ada, cuma tidak menonjolkan diri mereka. Tetapi, apabila ulama mula berpolitik, kenyataan dan fatwa mereka secara automatik sudah tidak boleh dipakai.
Sudah begitu banyak contoh yang menunjukkan bahawa ulama sanggup menyatakan hal yang karut-marut hanya kerana ingin membela pandangan ahli kumpulan atau partinya sebagaimana kenyataan seperti 'Tuhan mencarut', dalam membela novel "Shit", ataupun Tuhan Samseng, ataupun ulama boleh bercakap kasar. Ini semua gambaran kenyataan ulama yang berpolitik.
