Saya merujuk kepada berita malaysiakini mengenai penangkapan 17 peserta perhimpunan menentang salahguna kuasa polis.
Tindakan polis yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan melakukan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan aman menentang kekerasan, keganasan dan salahlaku polis, Sabtu lepas, mencerminkan betapa "pemerintahan baru" yang dicanang-canangkan oleh Pak Lah, jelas hanya suatu retorik dan gimmik politik semata-mata.
Pada hakikatnya, pemerintahan lama ala-Mahathir yang anti-kebebasan bersuara, anti-kebebasan berhimpun serta anti-demokrasi, masih juga berlangsung di era "pemerintahan baru" Pak Lah.
Perilaku yang ditunjukkan oleh polis ketika perhimpunan menentang salahlaku polis yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada hari Sabtu lepas, harus dijawab oleh Pak Lah.
Sebagai Perdana Menteri, Pak Lah mesti bertanggungjawab untuk memastikan polis bersikap profesional dan tidak bertindak berlawanan dengan prinsip-prinsip asas demokrasi dan hak asasi manusia sejagat.
Penahanan 17 orang, termasuk 4 wanita dan beberapa orang yang diganasi oleh polis ketika perhimpunan itu, adalah satu kejadian yang terang-terang melanggar hak asasi manusia.
Jika sekiranya Pak Lah benar-benar serius untuk mewujudkan suatu era baru, perkara yang pertama sekali yang wajib dilakukan ialah memberi kebebasan untuk bersuara dan berhimpun.
Tanpa kebebasan bersuara dan berhimpun, "era baru" yang diwar-warkan oleh Pak Lah adalah sama sahaja tidak ubah seperti era Mahathir yang anti-demokrasi.
Penahanan 17 orang dan kecederaan yang dialami oleh beberapa orang daripada mereka, akibat dipukul dan diganasi polis, wajib dijawab oleh Pak Lah. Sekarang, apa jawapan Pak Lah?
