Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Kekalahan kali ini menjadi pengajaran yang paling bermakna bagi pembangkang. Mungkin inilah ubat paling mujarab bagi mereka. Kelemahan pertama ialah tiadanya persepakatan di pihak pembangkang. Soal pertembungan calon sesama sendiri - misalnya di Dengkil dan Taman Medan - sepatutnya sudah lama selesai. Apabila calon PAS dan Keadilan bertembung, maka pengundi merungut yang mana satu mahu dipilih.

DAP pula tidak seharusnya meletakkan calonnya pada saat akhir hingga bertembung dengan Keadilan. Keadilan pula seharusnya mengelak tempat yang sukar dimenangi, misalnya di Taiping yang menjadi teras penduduk kaum Cina. Biarkanlah DAP bertanding di situ. Melalui gabungan undi Keadilan dan DAP di situ, sudah pastilah kerusi Taiping milik pembangkang - DAP.

Kedua, perumpamaan Melayu ada mengatakan 'sebab santan, pulut binasa, sebab mulut badan binasa.'. Inilah yang berlaku kepada pemimpin pihak pembangkang. Pemimpin PAS, Abdul Hadi Awang agak kurang manis apabila membuat teguran bersifat peribadi terhadap dua tokoh DAP (Lim Kit Siang dan Karpal Singh).

Secara peribadi penulis amat menyenangi sikap Allayarham Datuk Fadzil Noor berbanding dengan pimpinan Hadi yang keras. Walaupun sudah lama dalam dunia politik, Lim dan Karpal, begitu padu dalam perjuangan mereka.

Begitu juga dengan Dr Syed Husin Ali dan Dr Sanusi Osman. Walaupun bergelar profesor, perjuangan mereka mantap, tidak seperti setengah-setengah cendekiawan yang mengejar nama dan pangkat. Nik Aziz Nik Mat menentang sosialisme tetapi apakah semua pengikut sosialisme itu tidak beragama Islam dan tidak berpegang kepada dua kalimah syahadat?

Tidak seharusnya ada nada menghina daripada mana-mana pihak pun kerana sedikit keterlanjuran, akan dijadikan bahan oleh pihak media. Hari ini, siapakah yang bersorak dan siapakah pula yang tergadai kemenangannya?

Keadilan pula sering dimomok-momokkan sebagai berjuang untuk individu, iaitu Anwar Ibrahim. Kenapa mesti malu untuk mengakui hakikat itu? Keadilan tertubuh kerana isu Anwar dan ia masih dan tetap relevan. Jika BN mendakwa sebaliknya, bebaskanlah Anwar dan hadapilah pilihanraya sebagai anak jantan.

Retorik politik dalam ucapan pemimpin PAS banyak menyebabkan orang takut, termasuk di kalangan orang Melayu sendiri. Memanglah agak malang apabila orang Islam sendiri menolak gagasan penubuhan negara Islam. Tetapi inilah hakikat yang perlu ditelan oleh pihak pembangkang.

Generasi muda yang tergila-gilakan Akademi Fantasia takut PAS memerintah, manakala peminat Era Fazira dan Norman Hakim (KRU) menghormati Nik Aziz tetapi nampak masa depan suram di bawah PAS. Seperti kata penganalisis politik, retorik pembangkang ialah retorik orang jual ubat. Ubat laku tetapi bila digunakan tidak mujarab, maka mereka serik untuk membelinya.

Personaliti juga perlu dijaga, sesuaikanlah mengikut keadaan. Tidak semestinya kita berjubah sepanjang masa bagi menunjukkan kita lebih Islam daripada orang lain. Tokoh-tokoh muda PAS perlu mempunyai imej mereka tersendiri yang mencerminkan Islam dan Melayu, bukan Islam dan Arab.Islam Melayu - inilah imej yang dipancarkan oleh Umno bertahun-tahun lamanya.

Pertikaian dalaman tidak perlu dimomokkan dalam akhbar. Inilah yang terjadi kepada Keadilan. Cabar mencabar dalam media cetak dan media elektronik akhirnya memberikan kesan besar kepada orang luar. Tindakan Ruslan Kasim dan kumpulannya menyertai semula Umno, dan kempen Lokman Adam memberikan kesan besar kepada perjuangan Keadilan.

Tanpa mempertikaikan kredibiliti Datin Sri Wan Azizah Wan Ismail Keadilan pada hakikatnya memerlukan pimpinan yang lebih mantap. Kewibawaan pimpinan tertinggi Keadilan pada pandangan masyarakat perlu dibaiki. Ezam Mohd Nor dan Tian Chua, perlu menjauhkan diri daripada keadaan yang boleh menyumbat mereka ke dalam penjara.

Tanpa kedua-duanya di luar, akan ada kesempatan bagi pihak lawan menyusup jarumnya. Wan Azizah memerlukan sokongan dan nasihat yang ikhlas bukan oportunis.

Bagi PAS pula, gunakanlah pendekatan Rasullulah ketika menghadapi kaum jahilliah. Biarlah bersederhana dahulu, kerana kalau orang Islam sendiri (Umno) takut dengan penubuhan negara Islam, apatah lagi bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Kepada DAP, sederhanalah juga dalam perjuangan. Ada kerusi tertentu yang sebenarnya milik Keadilan, serahkanlah atas dasar setiakawan dan mengenang budi. Perjuangan DAP sebenarnya tidak jauh daripada perjuangan Keadilan, berbanding dengan PAS.

Mengapakah kawan membiarkan kawannya sendiri tersepit demi untuk kemenangan diri sendiri? Islam bukan musuh DAP kerana Islam tidak menggalakkan permusuhan untuk mewujudkan sebuah kerajaan. Tinjau-tinjaulah bidang perbandingan agama dan hormatilah pandangan PAS dan Keadilan.

Akhirnya, terdapat suara-suara sumbang tentang peranan SPR dalam memenangkan pihak tertentu. Selidikilah kebenarannya dan bawalah ke mahkamah keadilan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS