Most Read
Most Commented
Read more like this

Berdasarkan surat YYC Mahasiswa Perlu Matang Dari Segi Intelektual dan Warga USM, Pak Lah: Siasat Pengurusan USM , maka kita mendapat jawapan yang sekian lama dicari-cari mengapa reputasi universiti tempatan jatuh merudum di peringkat antarabangsa?

Kami tidak boleh bertolak-ansur dengan tindak-tanduk mengambil gambar tandas universiti luar negeri untuk dibandingkan dengan universiti sendiri!

Mengapa perlunya kita memperuntukkan wang daripada dana negara semata-mata untuk menghantar seseorang ke negara asing untuk mengambil gambar tandas universiti luar negeri?

Lawatan sambil belajar untuk peringkat pengajian tinggi tidak harusnya setakat melihat pada tandas mereka yang sempit, ruang perpustakaan yang terhad, tetapi harus didalami sehingga falsafah dan idealisme pendidikan, kandungan pengajian, budaya kampus, kebebasan akademik dan sebagainya.

Begitu juga dengan kenyataan yang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dapat melindungi siswa-siswi yang melakukan jenayah kerana "selebih-lebihnya mereka ditamatkan pengajian, berbanding didenda atau dipenjarakan!"

Persoalannya, adakah ini bermaksud Auku menyokong siswa-siswi untuk melakukan jenayah kerana hukumannya jauh lebih ringan daripada undang-undang negara? Bukankah ini menjadi bahan ketawa sekiranya kenyataan sedemikian dibuat ketika berinteraksi dengan ahli akademik asing?

Mengenai isu berhubung kuasa penggawa lelaki untuk memasuki bilik siswi hanya kerana siswi menjemur baju di luar tingkap, saya ingin mengajukan beberapa soalan kepada YYC: Kaedah manakah dalam undang-undang Malaysia yang melarang baju dijemur di luar tingkap?

Menjemur baju di luar tingkap bukannya satu kesalahan yang berat sehingga penggawa perlu diperuntukkan kuasa untuk memasuki bilik siswi tanpa pengetahuan mereka.

Bukankah kesalahan yang lebih berat boleh berlaku, dan dilakukan oleh penggawa sekiranya siswi sedang melakukan sesuatu yang peribadi, misalnya menyalin baju ketika penggawa menyerbu masuk ke bilik siswi?

Adakah dengan menduduki desasiswa yang dimiliki universiti, maka ruang peribadi perlu digadaikan terlebih dahulu? Adakah pihak pentadbir universiti boleh melakukan apa-apa sahaja sesuka hati hanya kerana ini universiti punya?

Namun, apa yang gagal, dan tidak sanggup difahami pihak berkuasa di sana ialahapabila sebut universiti punya, ini milik pelajar! Kerana pelajarlah yang menjadi komponen terbesar dalam sesebuah universiti, bukan TNC dan kuncu-kuncunya!

Mengapa tumpuan kita beralih daripada isu-isu yang lebih besar dan penting kepada perkara harian yang remeh-temeh? Antara seluar dalam yang dijemur dengan rasuah yang berleluasa, manakah yang seharusnya diberi prihatin oleh seseorang warga kampus?

Apakah yang menjadi kriteria penilaian antarabangsa terhadap sesebuah universiti? Sejauhmanakah kebebasan akademik yang wujud atau berapa helai baju dalam yang digantung di luar tingkap?

Jangan biarkan usaha menyempitkan minda siswa-siswi ini berjaya! Hantar email berikut kepada Pak Lah, [email protected], [email protected]. Jika seorang yang hantar, memang tidak berkesan, jadi kita hantar ramai-ramai!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS