Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Tidak perlu dirujuk lagi surat mana yang mahu diulas tetapi isunya berlegar di sekitar kampus Universiti Sains Malaysia (USM). Ia seumpama mendedahkan pekung di dada yang sebenarnya sudah lama menjadi kanser.

Cuma pihak Kementerian Kesihatan sahaja yang tidak tahu mengenai penyakit ini. Ia memaparkan jurang pemikiran yang terlalu luas antara mahasiswa di Malaysia dan luar negara, antara mahasiswa hari ini dan mahasiswa sebelum1974.

Saya adalah mahasiswa generasi yang tamat pengajian pada tahun 2001 tetapi agak bernasib baik kerana dapat belajar di luar negara. Namun sebab mahu mengetahui apakah benar hempedu itu pahit, saya menyambung pengajian sarjana di Malaysia pula, tetapi bukan di USM. Terima kasih dengan perbincangan berkaitan masalah di USM hinggakan pujuk rayu dipohon kepada perdana menteri untuk campurtangan.

Di manakah taraf anda sehingga mahu meminta pertolongan sedemikian daripada seorang perdana menteri? Apa yang mahu anda adukan? Masalah seluar dalam yang tersidai di tepi tingkap atau masalah tandas universiti yang terlalu besar hingga membolehkan sepasang merpati bercengkarama di dalamnya? Memang patut pun khalayak mentertawakan mahasiswa hari ini, khususnya yang muncul saban minggu dalam program Bicara Siswa.

Pendeknya akal kalian. Dengan pelbagai masalah besar membabitkan masa depan negara yang satu hari nanti mungkin kalian terajui, hanya masalah seluar dalam yang menjadi perbincangan. Betapa sempitnya ruang anda melihat dunia ini. Bukalah mata luas-luas sedikit, orang kata dunia ini kononnya bulat dan bukan hanya dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Arau sampai ke Universiti Malaysia Sabah sahaja.

Kepada orang yang mencipta Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), anda sebenarnya telah mencipta satu tempurung besar menutup langit yang sebelum ini memayungi kebebasan berfikir mahasiswa Malaysia. Kasihanilah anak-anak muda yang menuntut ilmu menghabiskan wang ringgit dan tenaga tetapi hasilnya tetap serupa.

Kalau pada 2004 mereka masih lagi berkeadaan begini, apakah anda mahu pada tahun 2020 nanti mereka akan terus bercakap mengenai keuntungan jualan langsung sewaktu bergebang di kafeteria kuliah?

Janganlah anda terus memindahkan kebebalan anda itu untuk dijadikan saka kepada generasi berikutnya. Kepada anak muda pula, dunia ini akhirnya pasti akan menjadi milik kita, janganlah persiakan peluang untuk memerintah dunia ini mengikut undang-undang orang muda. Pastikan Auku mati.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS