Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengumuman kenaikan harga petrol RON95 dan diesel oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah sangat mengecewakan dan tidak bertanggungjawab.

Menjelang 12 tengah malam, 1 Oktober 2014, kita semua dapat menyaksikan ribuan rakyat di seluruh negara beratur panjang di stesen pam minyak bagi memenuhkan tangki kenderaan.

Rakyat kebanyakan hanya dapat mengambil peluang membeli minyak dengan kadar yang lebih murah beberapa jam sebaik pengumuman kenaikan harga minyak dibuat.

Manakala menteri-menteri Umno, saya percaya tidak akan tergesa-gesa mencari stesen minyak bagi mengambil peluang harga sedia ada sebelum kenaikan.

Ini hanyalah salah satu daripada ribuan bukti tanda-tanda dekatnya kejatuhan kerajaan Umno/BN apabila pemimpin mereka semakin jauh dan terpisah daripada permasalahan rakyat.

Setiap rakyat yang beratur panjang di stesen pam minyak seluruh negara adalah bukti betapa ramai rakyat yang terhimpit ekonomi mereka walaupun disaat pemimpin Umno/BN berdegar-degar berbangga dengan dakwaan prestasi ekonomi negara yang baik.

Setiap rakyat yang beratur panjang ini, pasti membantah kenaikan harga minyak ini dan mempersoalkan dimanakah menteri atau wakil rakyat Umno/BN yang bersama membantah kenaikan ini.

Dan saya percaya bahawa kenaikan harga minyak ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada kerajaan Umno/BN seterusnya membawa kepada keputusan bersama bahawa negara ini tidak lagi layak ditadbir oleh Umno/BN.


AHMAD MARZUK SHAARY adalah MP Bachok dan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen & DUN Pemuda PAS.

Lihat Komen
ADS