Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya amat tertarik dengan analisa politik yang bakal ditembungkan dalam pemilihan jawatan- jawatan tertinggi, khususnya di arena Pemuda Umno yang disuarakan mengikut pendapat saudara Zamar Din melalui ruangan pembaca malaysiakini .

Dari sudut pandangan saya di belakang kacamata selaku seorang sahabat yang rapat dengan Khairy, saya juga seiris dengan anggapan saudara Zamar Din bahawa ikatan persefahaman atas perjanjian perjuangan di antara Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein Onn dan Mohd Khir Toyo adalah amat tepat sekali dan saya yakin akan menenangkan situasi perebutan kuasa di peringkat pemuda.

Langkah ini adalah cukup berkesan dan sekaligus akan memastikan saudara Hisham akan terus meningkat kerjaya politiknya ke peringkat naib presiden Umno (yang kita tunggu-tunggukan selama ini) dengan ertikata yang sebenar, dan bukan 'naib presiden celup' melalui kedudukannya sebagai ketua Pemuda.

Seandainya rancangan ini berjaya, maka pilihan Khairy sebagai naib ketua Pemuda Umno adalah tepat sekali agar kepintaran, komitmen dan keikhlasannya untuk terus meningkat dalam ruangan politik, tidak akan terjejas, mahupun dipersoalkan oleh pengkritik pentadbiran Pak Lah yang kita kasihi atas landasan nepotism atau cronyism .

Saya masih teringat kata-kata daripada hati Tun Dr Mahathir Mohamad yang kami sayangi pada satu ketika dulu yang berbunyi: 'Apa salahnya, sekira anak-anak saya yang ada mempunyai kuasa tarikan persendirian dalam segala bidang perniagaan yang diminati oleh mereka, diberi peluang oleh kerajaan mahupun pihak swasta agar mereka terus menyumbang kepada pembinaan negara. Adakah ini akan merugikan kita sebagai orang Melayu yang perlu bersaingan dengan kemajuan bangsa-bangsa yang lain?'

Saya percaya kata-kata perdana demikian yang cukup bermakna untuk menjadi renungan dan teladan yang terbaik bagi bangsa kita yang hanya berputar kepada perkara-perkara remeh-temeh sahaja.

Berbalik kepada isu Khir-Khairy sebagai gandingan simbiotik, saya berpendapat yang menjadi halangan sebenar ialah pada kekuatan politik Khir yang sedia ada sekarang. Adakah ini suatu pakatan suara politik yang terbaik bagi Pemuda Umno, khususnya dan Khairy khasnya, sekira tidak ada landasan yang lain?

Nampaknya kedudukan Khir sendiri akan menjadi tandatanya kepada segenap pemimpin pemuda Umno. Kita semua tahu kemajuan karier politik Umno, Khir ada perhubungan kuat beliau dengan Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, selaku penyokong kuat perjuangan beliau.

Kenyataan ini adalah benar dan tidak dapat diketepikan sahaja, seandainya pemuda Umno perlu hidup sebagai tulang gergasi perjuangan orang Melayu dalam Umno. Nampaknya pemuda Umno sendiri tidak mempunyai pilihan yang berkesan, termasuk orang kuat Hisham yang bermain kayu tiga dan bertikam lidah dan tidak ada kreditabiliti, mahupun kepercayaan penuh daripada tokoh-tokoh Umno atau majlis tertinggi.

Pendapat saya demikian adalah hanya untuk renungan umum dan saya sebagai seorang ahli Umno, juga terus berharap kami semua akan insaf atas kemampuan kita yang sebenar dalam perebutan jawatan tertinggi dalam pemilihan Umno yang bakal diadakan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.

Saya juga berharap pertandingan kali ini akan menunjukkan 'ketelusan' dan akan jauh daripada permainan politik wang yang akan menghapuskan perjuangan kita. Lihatlah apa yang sebenar telah berlaku di Kelantan, khususnya perjuangan seorang veteran Umno yang cukup berpengaruh dan akhirnya telah membebankan permainan politik Umno sendiri.

Jika tidak seorang perjuang bernama Ibrahim anak Pa Ali, yang bermain kayu tiga atas kepentingan diri sendiri, saya yakin Tok Pa pasti telah berjaya merampaskan semula Kelantan dalam pilihanraya umum sebelas yang lalu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS