Seingat saya sudah berkali-kali saya menghantar mesej kepada para pemimpin PAS meminta hubungan parti kita dengan parti lain dalam gabungan, khususnya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dibuat kajian terperinci.
Namun surat dan mesej saya tidak diendahkan. Saya tidak pasti apakah sebabnya, ataupun keikhlasan saya yang berjuang tahun demi tahun, malah mengorbankan wang, tenaga dan masa berharga untuk PAS, semacam tidak dihargai.
Atas sebab ketidakprihatinan kita ini, maka sekali lagi kita telah diserang secara terang-terangan, bukan lagi dari belakang. Kita diserang bertubi-tubi secara terbuka. Saya maksudkan oleh salah sebuah parti gabungan kita, iaitu PRM, melalui media mereka Suara PRM yang dijual di pasaran bebas.
Apakah maknanya ini? Ini bermakna bahawa PRM sudah menduga kesabaran kita hingga ke paras melibatkan maruah PAS sebagai sebuah parti yang bertahan dan berjaya melepasi usia 50 tahun dengan rekod sentiasa ada wakil parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap pilihanraya umum.
Bandingkan dengan rekod parti kecil ini, walaupun usia tua tetapi sejak puluhan tahun lampau tidak pernah menghantar wakilnya ke parlimen mahupun DUN mana-mana negeri. Siapakah PRM untuk mengajar PAS macam-macam dan kononnya menyeru supaya PAS ubah macam-macam dasar dan pemimpin dalam struktur parti?
Ajarlah pemimpin PRM sendiri supaya mencari jalan bagaimana hendak mendapatkan sokongan selain daripada muka-muka itu juga sejak setengah abad lalu. Mengapa bekas jeneral dan bekas tokoh PTD tak masuk PRM, tetapi PAS juga yang dipilih?
Mengapakah muka-muka lama itu juga yang menjadi tukang panjat untuk menggantung banner dan bendera PRM? Ke mana perginya tenaga muda, ataukah memang mereka ini tiada dalam PRM?
Berbalik kepada penghinaan Suara PRM sebagai lidah rasmi PRM, seawal muka depannya lagi menuduh PAS semahu-mahunya sebagai pihak yang tidak bertanggungjawab membatalkan 'perhimpunan anti-SPR' yang dirancang diadakan pertengahan April lalu.
Ayat 'Turut serta ialah naib presiden PAS, Mustafa Ali, yang difahamkan bukan ahli jawatankuasa tersebut', bunyinya dan maksudnya sangat-sangat menghina kononnya sebelah kitalah yang bertanggungjawab membatalkan program itu.
Bermula dari situ, PRM terus menyerang Tuan Guru yang kita sayangi, dengan judulnya 'Nik Aziz bekalkan peluru dalam muka sembilan. Tuan Guru kita telah diserang dan dihina dengan ayat 'Banyak juga orang Melayu dan bukan Melayu dari Keadilan, dan PAS juga, berpendapat bahawa kenyataan itu tidak kena pada masa dan tempatnya'.
Satu lagi artikel bertajuk 'Dilema PAS' dalam muka surat 28 cuba mengajar PAS dengan maksud penulisnya supaya PAS menggugurkan perjuangan hudud dan negara Islam. Tulis si penulis itu: "Nah, hudud dan negara Islam PAS pada umumnya tidak diterima oleh rakyat. Nyatalah PAS kini menghadapi dilema besar. Meneruskan cita-cita menegakkan hudud dan negara Islam hampir sama ertinya menghantukkan kepala ke tembok - kepala sakit, hasilnya nihil".
Biarlah saya jelaskan apa maknanya nihil - kosong. Maknanya kalau mengikut PRM, berjuang hudud dan negara Islam sepertimana anjuran Syariah itu seperti menghantuk kepala ke dinding dan hasilnya kosong.
Ini kerana PRM hanya melihat kebendaan di sebalik perjuangan, sebaliknya kita insafi bahawa sepertimana kata Tuan Guru presiden, perjuangan kita bukanlah perjuangan maddiah, tetapi kita mengharapkan ganjaran yang tidak nampak, syurga yang dijanjikan Allah s.w.t.
Saya tidak mampu bersabar lagi dengan segala penghinaan ini. Saya dan rakan-rakan muda dalam PAS tidak mampu lagi menerima penghinaan demi penghinaan terhadap Islam dan terhadap tuan guru-tuan guru kita yang mulia.
Sedarkah bahawa yang menggagalkan kita daripada kemenangan bukanlah terletak pada kekurangan kita, tetapi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak adil dan menjadi jentera memenangkan Barisan Nasional (BN). Ini sudah terbukti jelas terpampang di depan mata. PRM jangan tergoda sama menjadi kakak tua yang menari menurut telunjuk Umno/BN.
Akhirnya, kami tidak pernah meminta balasan daripada parti atas perjuangan kami selama ini, kerana kami tahu kemampuan parti kita dari segi material. Kepada para pemimpin PAS, usahakanlah sesuatu untuk menghentikan penghinaan demi penghinaan ini. Ingatlah, Allah sentiasa bersama-sama kita. Wallahuaklam.
