Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya adalah antara pelanggan siaran televisyen berbayar, Astro yang menjadi kontroversi akhir-akhir ini disebabkan dakwaan yang stesen berkenaan menyiarkan bahan-bahan siaran yang tidak dikawal serta kenaikan yuran langganan bulanan.

Sebagai pengguna, sudah pastilah saya juga merasakan kenaikan itu perlukan penjelasan pihak pengurusan. Mungkin sekiranya bayaran dikurangkan kepada RM3 ianya boleh diterima oleh pengguna.

Tapi yang menjadi fokus sekarang adalah apakah Astro benar-benar telah tidak bertanggung-jawab dalam siarannya sebagaimana anggapan banyak pihak. Saya tidak ingin membela Astro, tetapi saya melihat isu ini dari sudut kebebasan memilih apa yang ingin ditonton melalui 40 saluran yang dihidangkan.

Saya juga percaya, dalam masa Astro memenuhi kehendak pasaran dunia penyiaran moden yang sangat rencam, kadangkala berlaku pertindihan antara nilai masyarakat dan kehendak komersial.

Kebijakan dalam mengimbangkan dua perkara ini sangat penting supaya Astro mendapat keuntungan dan masyarakat tidak terjejas nilai pegangannya.

Sebagai contoh, secara sengaja saya sekeluarga memilih pakej asas yang mengandungi saluran filem yang minimum. Sebaliknya, kami memilih saluran berita, sukan dan kartun selain beberapa saluran asas seperti National Geographic dan Discovery .

Sungguhpun demikian, kami hanya menonton sama ada saluran kartun sewaktu bersama anak-anak dan selebihnya saya dan isteri akan menonton salah satu daripada tiga saluran, iaitu National Geographic , Discovery (ataupun Discovery Travel ) dan juga Animal Planet .

Saya menganggap setiap rancangan dokumentari yang disiarkan itu sangat berfaedah, seumpama membaca sebuah buku bergambar dalam setiap tontonan. Hal ini menambahkan pengetahuan dan memberikan gambaran lebih jitu dalam melihat sesuatu isu atau peristiwa di peringkat global.

Misalnya dokumentari mengenai negara Israel memesongkan sama sekali pandangan asal saya. Pada fikiran saya, Israel sudah pastilah sebuah negara Yahudi yang benar-benar ortodoks dan kerjanya menzalimi Palestin setiap hari.

Tetapi, rupanya puluhan ribu rakyat Palestine menyeberangi sempadan setiap masa untuk bekerja di Israel, sehingga timbul persoalan, apakah mereka ini, Israel dan Palestine benar-benar bermusuh ataukah permusuhan berlaku hanya di peringkat politik sahaja.

Satu lagi contoh ialah apabila dokumentari bertajuk Inside Mecca ditayangkan. Alangkah terkejutnya saya melihat sewaktu tawaf, umat Islam lelaki dan wanita dibenarkan bercampurgaul sehingga memberi ilham kepada saya mengkritik dasar kerajaan negeri Terengganu sebelum ini yang mengasingkan lelaki dan wanita di kaunter pasaraya.

Sebelum ini, teman-teman saya yang ke Mekah mengerjakan haji tidak pernah memberitahu betapa di tempat ibadat yang begitu suci, percampuran jantina dibenarkan olah agama. Pendedahan berkaitan masyarakat Arab yang bercampur fahaman Islamnya boleh dilihat melalui saluran Arab TV (ART).

Kesimpulannya selepas menonton ART ialah ia mengubah sama sekali tanggapan saya sebelum ini terhadap dunia Arab. Sebelum ini, apabila disebut Arab, saya terbayangkan negara Arab Saudi dengan Kaabahnya serta masyarakat Islam Arab yang digambarkan sebagai alim dalam amalan agama.

Kenyataan ini pula disokong oleh ramainya tok-tok guru dan alim ulama kita yang pernah belajar di sana, termasuklah di Universiti al-Azhar, Mesir yang dianggap sebahagian dunia Arab sebagai yang sangat diagungkan oleh umat Islam.

Melalui siaran itu, saya tiba-tiba menjadi insaf bahawa tidak semua Arab bagus. Di sesetengah negara Arab, budayanya sangat liberal mengalahkan negara kita. Orang Arab di kawasan Lebanon sangat menyukai hiburan dan tarian. Pakaian wanita Mesir dan Irag pula lebih moden daripada wanita Islam Malaysia.

Sebaliknya, di negara Arab yang lain, budayanya sangat kolot sehinggakan wanita tidak dibenarkan memandu dan mengambil bahagian dalam pilihanraya. Saya merasakan amalan dan penghayatan umat Islam di Malaysia jauh lebih baik daripada apa yang ditayangkan berkaitan masyarakat Arab itu.

Jauh sekali kalau hendak dibandingkan dengan kedamaian yang wujud di sini berbanding di negara-negara Arab. Kenyataan ini sekaligus mengkritik banyak golongan yang sangat mengagungkan segala yang berkaitan dengan Arab sehingga memakai pakaiaan Arab ke mana-mana sahaja sehingga ke Dewan Undangan Negeri.

Tujuan saya menimbulkan perkara ini ialah supaya kita boleh mengimbangkan pandangan kita terhadap Astro. Di samping kita tidak bersetuju dengan beberapa perkara seperti kenaikan yuran langganan, banyaknya iklan yang tersiar dan tayangan yang kurang bermoral, kita perlu imbangi dengan apa pengetahuan yang kita dapat.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa konsep pilihan bebas sangat penting dalam menilai Astro dalam kehidupan dunia kita yang telah berubah. Mengambil contoh yang sangat ekstrim, kita sebenarnya telah menerima perubahan dan realiti hidup di dunia moden apabila kerajaan telah membebaskan Internet daripada kawalan-kawalan tertentu kerajaan sejak era Tun Mahathir sehinggalah hari ini.

Berbanding dengan siaran Astro, apa yang terkandung dalam Internet jauh lebih 'hebat'. Oleh itu, dalam apa jua tindakan yang bakal diambil terhadap Astro, jangan sampai sisi positifnya ditenggelamkan oleh emosi yang muncul seminggu dua ini.

Jangan sampai lesennya ditarik balik kerana banyak pihak yang akan kerugian, khususnya rakyat negara ini dan kerajaan sendiri khasnya. Dalam masa yang sama, saya bersetuju sekiranya sedikit kawalan dan pemantauan dikenakan terhadap sesetengah rancangannya.

ADS