Saya ingin menjawab salah satu surat pembaca yang disiarkan di lamanweb malaysiakini tulisan Kelantan71 mengenai hubungan Parti Rakyat Malaysia (PRM) ddan PAS dalam Barisan Alternatif (BA). Kelantan71 berkali-kali menghantar surat dan juga mesej kepada peringkat tertinggi PAS mengenai perkara tersebut, tetapi surat beliau tidak diendahkan, kenapa?
Adakah kerana seorang sahaja yang syok begitu ataupun PAS begitu bergantung kepada PRM untuk menarik undi daripada PRM yang juga ramai kaum Cina mengangotainya? Jadi di sini, walaupun PRM parti yang kecil, tetapi masih mampu bersaing di arena politik negara.
Kelantan71 juga ada mengatakan beliau telah berjuang tahun demi tahun dan juga telah mengorbankan wang ringgit, tenaga dan masa untuk PAS. Benarkah? Berapa juta yang beliau habiskan? Adakah sampai deman beliau berkerja untuk parti PAS dan adakah masa beliau banyak dihabiskan dengan PAS hingga mengabaikan anak isteri?
Beliau juga mengatakan PRM dalam lidah rasminya Suara PRM menyerang Tok Guru Nik Aziz Nik Mat secara terang-terangan. Kenapa? Adakah kerana Nik Aziz itu tidak boleh dikritik? Siapa itu Nik Aziz? Malahan Nik Aziz sendiri pernah mengkritik Prof Dr Syed Husin Ali dengan mengatakan beliau 'tidak Islamik' dan 'sosialis adik sikit kepada komunis'.
Kelantan71 juga tidak sepatutnya meletakkan 100 peratus kekalahan PAS dan BA di tangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) semata-mata. Beliau harus juga mengakui kelemahan PAS dalam mengawal permainan politik Umno/BN. Turun naik PAS juga disebabkan parti-parti kecil ini. Malahan, sekarang ini, PAS bergantung 100 peratus kepada PRM dan Keadilan.
DAP juga keluar dari BA disebabkan oleh PAS juga, kerana percanggahan pendapat dalam konteks negara Islam. Malahan DAP menang banyak kerusi daripada PAS di Parlimen. Kemenangan PAS di Terengganu pada 1999 diwarnai gerakan reformasi. Tetapi sekarang apa? Nahil - kosong. Nasib baik kemenangan di Kelantan dapat dikekalkan, bahkan masih lagi tipis 24-21. Semoga wakil rakyat PAS sihat sejahtera dan panjang umur.
PAS adalah baja kepada Umno. Selagi PAS bertahan, selagi itu Umno akan terus memerintah Malaysia. Dalam kesemua 11 pilihanraya umum, boleh dikatakan Umno menang dengan bergaya sekali. Hanya pada 1999, BN dinafikan kemenangan besar oleh BA ketika itu kerana kes Datuk Seri Anwar Ibrahim diaibkan.
Ini jelas dalam pilihanraya-pilihanraya yang lepas, BA gagal, tetapi yang paling gagal adalah PAS sendiri kerana boleh dikatakan parti ini merupakan sebuah parti yang besar. Dan bagi parti-parti kecil seperti PRM, Keadilan, DAP sudah tentu tidak boleh mengubah apa-apa sekalipun parti kecil ini menang.
Sebenarnya, politik ini bukan hanya sekadar untuk menang pilihanraya dan menikmati kemewahan sebagai wakil rakyat. Tetapi yang paling penting sekali adalah kesedaran politik, kematangan politik dan juga mempunyai prinsip-prinsip politik yang kukuh.
Kita mengkritik bukan untuk berasa hebat, malah kritikan itu adalah untuk membawa satu perubahan yang besar untuk seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama. Kritikan adalah salah satu sistem demokrasi yang kita amalkan. Jikalau kritikan tidak dibenarkan dan juga tidak boleh dikritik, maka kita akan menjadi seperti Barisan Nasional. Jikalau dikritik sikit, terus tangkap dan ditahan di dalam ISA.
Tetapi secara teranglah saya katakan bahawa serangan peribadi adalah tidak patut dilontarkan kerana ini akan mengkucar-kacirkan kemakmuran dan juga pandangan serong masyarakat terhadap orang yang diserang.
Seperti kata-kata As-Syahid Dr Ali Shariati: 'Peradaban, pendidikan, dan agama telah menjadikan manusia seperti binatang yang hanya berminat terhadap keselamatan ekonomi atau orang yang kuat sembahyang, tetapi berhati batu dan hanya mementingkan diri sendiri, atau sarjana yang tidak mempunyai perasaan kasih sayang dan ilham serta pengetahuan, kebijaksanaan dan logik untuk rakyat".
Dan juga seperti kata Bapa Kemerdekaan Indonesia iaitu Soekarno (Bung Karno) yang sering dilontarkan dengan cemuhan dan perilakunya tentang keislamanya berkata: 'Bukalah dada saya, di sana saudara akan jumpai Islam itu'.