Pertamanya, suka saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas tulisan Fathi Aris Omar Tindakan Harakah memalukan yang nampaknya cuba membela saya berikutan penyiaran tulisan Farish A Noor dalam Harakah .
Memandangkan tulisan itu boleh menimbulkan banyak keraguan dan salahfaham di kalangan pembaca malaysiakini , khasnya di kalangan ahli PAS, saya menulis surat ini.
Pertamanya, suka saya tegaskan bahawa, Harakah adalah antara organisasi akhbar di Malaysia yang masih berpegang teguh dengan prinsip kebebasannya.
Walaupun, Harakah dibina atas nama organ parti tetapi pengurusan Harakah diberikan autonomi tersendiri oleh parti dalam konteks perniagaan kewangan dan kandungannya.
(Inilah rahsia penting kejayaan Harakah sehingga kini)
Ia dipandu oleh sebuah Lembaga Pengarah yang di lantik oleh Dewan Harian PAS (badan pengurusan parti) yang mempunyai kuasa penuh dalam menentukan perjalanan dan kandungan Harakah .
Pengurusannya dipimpin oleh pengarah urusan manakala kandungan Harakah dipimpin oleh saya sebagai ketua pengarang bersama sidang editor . Kedua-dua kami bertanggungjawab kepada lembaga pengarah Harakah .
Sehingga kini, kami berkeyakinan mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk mengisi kandungan Harakah berpandukan perjuangan yang dibawa oleh PAS iaitu Islam. Kami yakin, kebebasan yang kami miliki, jauh lebih dari kebebasan yang dimiliki oleh sidang pengarang Utusan Malaysia yang dimiliki oleh Umno itu.
Kalau tidak percaya, tanyalah salah seorang pengarang Utusan yang pernah menjadi pengarang kumpulan Harakah sebelum ini.
Ketika menyiarkan tulisan Farish Noor, dalam hal ini saya sendiri, kami berpendapat PAS secara keseluruhannya perlu mendengar pandangan semua pihak selepas mengalami kekalahan dalam pilihanraya umum lepas hatta dari pengkritiknya yang paling tidak disenangi oleh ahli PAS.
(Turut disiarkan dalam keluaran itu adalah wawancara dengan Dr Agus Yusof, dari UKM yang banyak sekali mengkritik PAS.)
Ia disiarkan dengan andaian segala tohmahan, tuduhan, kritikan dan sebagainya yang dibuat oleh Farish akan dijawab sendiri oleh pemimpin PAS di gelanggang PAS sendiri iaitu Harakah .
Penyiarannya bertujuan untuk mendengar sendiri secara terbuka (tidak sebagaimana tuduhan Fathi) kritikan Farish terhadap PAS. Secara kebetulan Farish memang banyak membuat kajian tentang PAS.
Tulisan Farish mungkin betul, mungkin silap. Mana betul kita terima, yang silap kita perbetulkan.
Alhamdulillah, sememangnya Harakah telah memberikan peluang kepada Farish dan alhamdulillah juga ia dijawab oleh dua tokoh ulama iaitu Ketua Penerangan PAS, Dato' Dr Harun Din dan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama yang kebetulan pernah bertembung dengan Farish sebelum ini.
Inilah lambang keterbukaan Harakah dan saya percaya sikap ini dikongsi bersama oleh lembaga pengarah Harakah . Ini kerana, keputusan telah dibuat sebelum ini, bahawa Harakah adalah akhbar alternatif milik PAS.
Kalau dibenarkan dan ideal- nya Harakah ini bagi saya seumpama akhbar The Star yang dimiliki oleh MCA tetapi sidang editor dan pengurusannya mempunyai kebebasan untuk menjalankan tugas sebagai media dan badan perniagaan.
Memang, nama Farish amat sensitif dengan pejuang Islam khasnya ahli PAS berikutan isu hina Nabi yang dikatakan ditulis oleh Farish sebelum ini.
Tetapi, sebagaimana saya nyatakan tadi, pendapat tetap pendapat dan hujah perlu dilawan dengan hujah. Itulah pendekatan yang diterima ramai di zaman moden ini.
Oleh itu, tuduhan Fathi bahawa PAS dan Harakah sama saja dengan parti pemerintah, bagi saya tidak berapa tepat. Kami yakin dan masih tetap berpegang sidang editor Harakah jauh lebih bebas dari sidang editor Utusan Malaysia walaupun Harakah jelas menyatakan ia diterbitkan oleh PAS sedang Utusan tidak berani menulis ia diterbitkan oleh Umno.
