Most Read
Most Commented
Read more like this

Tulisan Fathi Aris Omar bertajuk Tindakan Harakah memalukan adalah dirujuk. Tulisan tersebut ada kaitan dengan artikel Dr Farish A Noor bertajuk 'Memikirkan Semula Pendekatan PAS' dalam Harakah keluaran 16-30 April 2004 dan temuramah bersama Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Abdul Ghani Samsuddin serta temubual bersama Ketua Penerangan PAS, Dr Haron Din dalam Harakah keluaran 1-15 Mei 2004.

Pada mulanya saya amat mengalu-alukan peranan yang dimainkan oleh Harakah dengan sanggup menyiarkan artikel Dr Farish. Kita sudah bosan dengan media arus perdana yang hanya menyiarkan berita berat sebelah yang tidak menyumbang kepada percambahan minda masyarakat.

Jika terdapat sebarang ketidakpuasan di hati masyarakat terhadap satu-satu tulisan, maka masyarakat wajar turut sama menggunakan saluran media yang bebas untuk menyuarakan pula pandangan mereka. Minda masyarakat kita di alaf baru harus sentiasa kritikal supaya kita lebih maju terkehadapan dalam segenap bidang kehidupan.

Tetapi akhirnya saya kecewa terhadap Harakah apabila wartawan dan pengarang Harakah telah dikenakan tindakan akibat penyiaran artikel Dr Farish tersebut. Ulama PAS sewajarnya bersikap terbuka menerima pandangan orang lain dan menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Farish.

Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan Dr Farish dalam isu tulisannya di The New Straits Times keluaran 4 November 2000 yang boleh membawa kepada penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w apabila beliau mendakwa baginda s.a.w telah berzina dengan 15 orang perempuan termasuk seorang Yahudi yang bernama Rayhana.

Saya akui bahawa tulisan-tulisannya yang berkaitan dengan Islam mendatangkan kekeliruan kepada saya kerana kemungkinan beliau hanya mendapat pandangan daripada orientalis-orientalis anti-Islam tanpa turut mengambil pendapat dari ulama muktabar.

Tetapi sebaliknya, saya boleh menerima tulisan-tulisannya yang bersangkutan dengan pengkajian dalam bidang sains politik dan sosial kerana beliau mempunyai autoriti untuk berbahas dalam isu tersebut lantaran beliau memang terlatih dalam bidang berkenaan sehingga ke peringkat doktor falsafah.

Kita tidak seharusnya mengambil sikap jumud menentang semua tulisannya sebagai sesuatu yang tidak betul. Masyarakat termasuk ulama PAS wajar bersikap terbuka menerima pandangannya dalam isu politik demi memperbaiki prestasi dan meningkatkan tahap pencapaian oraganisasi PAS dalam menyumbang kepada kewujudan check and balance terhadap parti pemerintah agar rakyat sentiasa terpelihara daripada segala bentuk kezaliman.

Ulama bukanlah golongan yang maksum seperti Nabi yang tidak boleh ditegur langsung. Saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan Ustaz Ghani yang menyebut bahawa pandangan Dr Farish tentang wacana ulama dengan intelektual-teknokrat dalam PAS yang tidak sehaluan dengan menyimpulkan bahawa tujuan Dr Farish itu adalah memihak kepada intelektual Umno.

Saya telah membaca berkali-kali artikel Dr Farish tetapi tidak berjumpa di mana terletaknya maksud beliau yang membawa kepada sokongan terhadap intelektual Umno. Adakah Ustaz Ghani cuba mengalihkan isu percanggahan strategi di kalangan ulama dengan intelektual-teknokrat dalam PAS dengan percubaan untuk melenyapkan kepercayaan pembaca terhadap tulisan Dr Farish yang menurutnya menyokong intelektual Umno?

Sekiranya benar berlaku perdebatan di kalangan dua golongan dalam PAS itu berkaitan dengan strategi politik, maka ia amat wajar sekali, demi mencambahkan idea supaya sokongan terhadap PAS meningkat. Kedua-dua golongan ini perlu berlapang dada menerima idea yang baik dari mana-mana golongan supaya PAS dapat diterima oleh masyarakat.

Ustaz Ghani dan Dr Haron perlu menerima pandangan bahawa kekalahan PAS dalam pilihanraya umum lalu tidak hanya bersandarkan kepada faktor strategi penipuan yang berleluasa oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tetapi turut meliputi faktor strategi yang digunapakai oleh PAS yang masih belum dapat diterima oleh majoriti pengundi.

Bagi saya, strategi PAS telah menyalahi kemahuan rakyat di mana PAS tidak responsif dalam menjuarai isu-isu rakyat, tetapi sebaliknya cuba memaksa rakyat menerima Dokumen Negara Islam dalam keadaan minda majoriti rakyat yang terpesong daripada mengetahui tentang kebaikan negara Islam hasil mainan media arus perdana yang dikuasai oleh pihak berkuasa.

Saya menyokong hujah Dr Farish yang menuntut supaya golongan ulama dalam PAS agar terbuka menerima idea-idea dari golongan intelektual-teknokrat. Golongan profesional ini wajar dibuka ruang seluas mungkin untuk memimpin PAS bersama dengan ulama.

Sekiranya profesional menjadi presiden parti sekalipun, ia seharusnya dapat diterima semua kerana premis 'kepimpinan ulama' dalam PAS masih tetap berjalan disebabkan kewujudan Majlis Syura Ulama PAS dan Dewan Ulama PAS.

Gagasan bekas Presiden PAS Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor yang mengidamkan ulama dalam PAS berusaha mempelajari ilmu duniawi seperti sains sosial, sains politik, teknologi maklumat dan sebagainya serta profesional juga turut menguasai ilmu ukhrawi seperti Tasawwur Islam dan Syariah, wajar dijadikan sebagai satu usaha yang berterusan bagi memantapkan kedua-dua golongan tersebut.

Reformasi dalaman PAS harus bergerak bermula dari sekarang dengan meningkatkan peranan dalam memberikan pandangan Islam sederhana, demokratik, reformis dan relevan dengan dunia hari ini sebagaimana yang diseru oleh Dr Farish.

Pendekatan strategi dan imej yang sederhana perlu digarap oleh PAS dengan berlakunya penyesuaian selaras dengan sosiobudaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Imej 'garis keras' yang menular kepada PAS sekarang harus segera dihilangkan.

Pertemuan percambahan minda wajar dilakukan oleh pemimpin PAS terutama golongan ulamanya dengan golongan intelektual bebas seperti Dr Farish sendiri, Dr Jomo KS, Dr Chandra Muzaffar, Prof Dr Agus Yusuf, Prof Dr Syed Hussin Al-Attas, di samping mengatur pertemuan dengan pemimpin pelbagai agama di negara ini untuk berdialog ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih adil dan harmoni.

Akhir kata, saya berharap agar media seperti malaysiakini terus memperjuangkan kebebasan media dengan penyiaran bahan-bahan dari semua sumber bagi membangunkan minda masyarakat. Saya sudah hilang kepercayaan terhadap Harakah dalam memperjuangkan kebebasan media . Minda yang berkembang dan terbuka dapat melahirkan idea-idea yang lebih mencabar minda.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS