Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Bila saya membaca mengenai isu 128 pelajar yang gagal diterima ke jurusan perubatan walaupun mendapat CGPA 4.0, hati saya berasa sedih dan kecewa.

Kesedihan pertama kerana pelajar macam anak saya yang mendapat CGPA 3.67 dalam jurusan Sains Hayat dari Pusat Matrikulasi Sains tidak pun dipandang sebelah mata oleh Kementerian Pendidikan untuk memasuki mana-mana kursus berasaskan Sains Hayat di universiti tempatan.

Daripada lapan kursus yang ditandakan untuk pilihan kursus, cuma satu sahaja kursus Sains Fizikal yang ditandakannya, yakni sebagai pilihan ketujuh. Dan beliau 'dipilih' untuk kursus tersebut - Kursus Sains Komputer!

Anak saya sedar diri. Dengan CGPA 3.67 dia tidak pun memilih jurusan perubatan. Tetapi adakah dia terlalu 'tidak cerdik' sehingga tidak boleh dipertimbangkan untuk kursus seperti farmasi, dietetik, bioteknologi, bioperubatan dan seumpamanya?

Kalau128 pelajar yang beroleh CGPA 4.0 dengan serta merta diberi perhatian dan sekaligus diberikan tempat dalam jurusan perubatan, kenapa tidak ada siapa yang memandang sebelah mata kepada pelajar seperti anak saya, apatah lagi untuk memperjuangkan nasib mereka?

Di negara ini, hanya jurusan perubatan sahajakah yang paling penting sehingga yang lainnya tidak layak untuk bersuara atau diberi perhatian?

Kesedihan kedua saya disebabkan cara pemimpin kita menangani isu penempatan 128 pelajar berkenaan.

Insiden itu jelas menunjukkan betapa mudahnya kita 'menidakkan' kredibiliti sistem pemilihan yang dibuat sendiri oleh kementerian. Tidak bolehkah kita berpegang teguh kepada sistem yang digunapakai?

Campurtangan politik hatta daripada perdana menteri sendiri memberikan contoh yang tidak baik mengenai ketelusan serta kredibiliti pegawai tinggi kita sendiri.

Saya tidak hairan jika precedent ini akan memberi ruang yang lebih besar kepada campurtangan pihak-pihak berkepentingan. Orang seperti saya boleh menuntut agar keadilan diberikan juga kepada anak saya atas dasar ini - kalau mereka yang mendapat CGPA 4.0 boleh mendapat tempat dalam jurusan perubatan setelah campurtangan perdana menteri, mengapa anak saya tidak boleh mendapat jurusan farmasi, dietatik, bioteknologi atau bioperubatan dengan kelulusan CGPA 3.67?

Mengapa 'mencampakkan' anak saya ke jurusan sains komputer?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS