Saya merujuk kepada berita Keadilan kalah teruk kerana PAS? Berita yang memetik kenyataan ahli MKT Keadilan Khalid Jaafar itu, menuduh kekalahan Keadilan, kecuali Parlimen Permatang Pauh, berpunca daripada tempias imej buruk PAS kepada Keadilan.
Hakikat bahawa kenyataan begini dikeluarkan di dalam satu forum yang turut dihadiri Ketua Penyelidik PAS, Dr Dzulkifli Ahmad, amat-amat tidak boleh diterima sama sekali. Apatah lagi ia dibuat selepas satu lagi parti gabungannya, Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut menuduh PAS sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam salah satu siaran media rasminya, Suara PRM.
Eloklah terlebih dahulu, saya sebagai salah seorang pemuda PAS yang agak celik dengan permainan politik tidak beretika kedua-dua parti 'kecil" ini, bertanya: Apakah maksud tuduhan-tuduhan ini semua? Apakah maksudnya supaya gabungan yang wujud pada hari ini dikaji semula?
Biarlah saya ingatkan kedua-dua pihak tertinggi parti ini, bahawa maklumat yang saya ketahui adalah PAS pada bila-bila masa sahaja sanggup memutuskan perhubungan dengan mereka ini. PAS selama ini bergabung dengan dua parti yang tidak tentu haluan masa depannya, sedangkan PAS telah sedia teruji dan mempunyai sokongan asas yang sangat kuat.
PAS telah berkorban besar apabila meletakkan dirinya dalam gabungan tersebut. Betapa sukarnya menjelaskan kepada ahli-ahli mengenai negara Islam apabila diajukan gabungan bersama PRM. Kita juga hilang sokongan Melayu apabila terpaksa bersetuju dengan gagasan pelbagai kaum yang setaraf dalam Keadilan.
Orang-orang kuatnya yang dahulu mengutuk Dr Mahathir Mohamad, kini menjilat ludah berpuluh-puluh kali. Lihatlah Lokman Noor Adam, Ruslan Kassim, malah Ketua Pemuda mereka, Ezam Mohd Noor ,yang kalau tidak kena gaya sekarang inipun, hatinya sudah berada dalam Umno. Di manakah lebihnya orang Keadilan berbanding PAS?
Selama ini, PAS tidak membuka cerita-cerita buruk Keadilan di media atas dasar persahabatan perlu dijaga. Parti 'sahabat' inilah yang biasanya membuka dahulu keburukan sahabat, yang bermakna secara psikologi politik, mencetuskan rasa tidak boleh dipercayai sesama kita.
Begitu banyak rahsia parti Keadilan yang PAS ketahui, tetapi tidak sampai hati membukanya kepada tatapan awam