Merujuk kepada tulisan PAS tidak 'dedahkan keburukan Keadilan' tulisan Kelantan71, saya terpanggil untuk menjawab kenyataan itu. Soalan saya yang pertama ialah berapa lama saudara terlibat dalam politik pembangkang dan soalan kedua saya ialah jika saudara ada memegang jawatan dalam PAS, saudara berada di kem mana? Kem profesional atau kem ulama?
Sekiranya saudara adalah ahli PAS dan berjawatan di peringkat kawasan, negeri atau pusat, duduk dalam kem ulama, saya tidak hairan kerana ulama dalam PAS memang begitu sikapnya. Nama saja ulama, tetapi tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan orang lain. Mereka sahaja yang betul. Segala tindakan mereka itu adalah halal, termasuk mempertikaikan keIslaman seseorang.
Mari kita rujuk kepada kes Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berberapa hari sebelum pilihanraya umum ke-11 yang mempertikaikan keIslaman Dr Syed Husin Ali. Sekiranya tulisan saya ini dapat disiarkan dan dapat di baca oleh semua rakyat, cuba fikirkan sejenak apakah patut seorang yang digelar ulama, mursyidul am, mengeluarkan kenyataan begitu, kepada seorang Islam dan rakan seperjuangannya sendiri, hanya semata-mata kerana satu kerusi parlimen ... fikirkanlah...
Yang selalu terjadi dengan ulama PAS ialah mereka ingin menunjukan amal ibadat mereka itu 'hebat sangat'. Rujuk kepada kes Pak Lah berberapa hari sebelum pilihanraya umum lalu, di mana bekas menteri besar Terengganu, Tuan Guru Haji Hadi cuba mempertikaikan mengapa Pak Lah menjadi imam sembahyang Teraweh tetapi dia tidak mengimamkan sembahyang jenazah ibunya?
Persoalannya di sini ialah apa perlunya bekas MB Terengganu itu mengeluarkan kenyataan semacam itu, di saat-saat hampirnya kepada pilihanraya? Apakah Haji Hadi ingin menjadi hero sekiranya dengan kenyataan beliau itu PAS mampu merampas Kedah, Perlis, Pahang dan Selangor dalam pilihanraya umum lalu?
Dalam pilihanraya umum ke-11, adakah bekas MB Terengganu itu sedar dengan apa yang beliau katakan? Bukankah lebih elok jika bekas MB itu berdiam diri atau cuba mengalih 'provokasi' wartawan kepada isu-isu yang lebih menyentuh kepentingan rakyat terbanyak. Tetapi malang sekali, Presiden PAS yang berusia 50 tahun itu tidak cekap untuk menjawab soalan sebegitu rupa.
Saya ingin bertanya kepada saudara dan juga pembaca, apakah hukumnya seorang anak itu tidak menyembahyangkan jenazah ibu atau bapanya? Berdosa besar? Berdosa atau tidak mengapa? Maaf jika saya bertanya, adakah saudara Kelantan71 mempraktikannya?
Inilah punca-punca kekalahan Barisan Alternatif (BA) dan Keadilan dalam pilihanraya umum ke-11 yang Saudara Khalid Jaafar tidak mendedahkannya, akibat kenyataan beberapa kerat pemimpin yang merasakan diri mereka itu habat sangat, dan secara tidak langsung PAS telah mendedahkan keburukannya sendiri.
Sekiranya saudara Kelantan71 duduk dalam kem golongan profesional, saya tidak hairan dengan sikap saudara itu, kerana captain golongan profesional, Dr Hassan Ali, memang mendidik anak buahnya begitu, suka menyalahkan orang lain, berebut kerusi pilihanraya dan cakap besar.
Tidak dinafikan pengorbanan PAS dalam politik di Malaysia ini sangat besar, dan tidak keterlaluan jika saya katakan sangat hebat. PAS telah melalui ranjau sepanjang jalan politiknya selama 50 tahun.
Apalah yang hendak dihairankan dengan Kumpulan 12, Lokman Adam dan kalau tak kena gayanya Ezam Mohd Nor, kerana mereka ini semuanya dari Umno. Dari Umno mereka datang dan kepada Umno mereka kembali.
Tetapi jika seorang ulama, ustaz, Tuan Haji atau Pak Lebai, yang berpuluh tahun menjadi ahli dan pemimpin PAS, tiba-tiba menyertai Umno, apa ke halnya tu....
Lupakan cerita tentang geng 12 dan Lokman Adam, kerana mereka tu semua sudah senang. Mari kita cerita tentang Ezam Mohd Nor, orang yang kerap dikaitkan dengan Umno. Saudara dan pembaca semua tahu, Ezam adalah bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), mantan TPM.
Sebagai orang yang paling setia dengan DSAI, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan DSAI dibebaskan ataupun di berikan hak untuk mendapatkan rawatan. Saya tidak hairan sekiranya dia (Ezam) menyertai Umno. Kalau tidak kena gayanya la ...jika itu sahaja peluang untuk membebaskan DSAI, nak harapkan siapa lagi? PAS? BA?.
Dan apa yang PAS (saudara) nak risaukan bukankah PAS sebuah parti politik yang hebat, 50 tahun dalam perjuangan, 'menang kalah, no problem', memetik kata-kata Dr Hassan Ali sewaktu mesyuarat mengenai pembahagian kerusi pilihanraya yang lalu.
'Kita kena pastikan kerusi yang kita tandingi ini lebih pada pilihanraya yang lepas'. Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut seorang naib presiden parti yang 50 tahun lamanya. Saya harap pembaca boleh menilai sendiri ayat di atas.
Akhir kata, ingatlah dunia ini hanya sementara dan akhirat jugalah yang kekal abadi. Di hari pembalasan kelak, Allah tidak akan menentukan syurga atau neraka seseorang itu berdasarkan parti politik yang dia pilih di atas dunia ini.
Jika itu menjadi penentunya, sudah tentu Yusuff Qardawi menyertai PAS, ataupun menubuhkan parti politik dan mengambil PAS sebagai modelnya berdasarkan pengalamannya selama 50 tahun dan hanya mampu memerintah paling tinggi dua negeri sahaja.
Dan pesanan saya pada saudara Kelantan71, janganlah terlalu taksub dengan pemimpin dan parti dan tolong ingat-ingatkan, takut pemimpin saudara tu terlupa semua orang ada kelemahannya.