Memang betul kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Melayu mudah lupa. Mungkin betul juga telahan sesetengah pihak yang lain bahawa yang mudah lupa itu sebenarnya Melayu dalam Umno.
Pada minggu-minggu kebelakangan ini, cerita yang paling panas tidak lain tidak bukan mengenai perbicaraan kes pembunuhan seorang eksekutif pemasaran wanita yang juga didakwa bekerja sambilan sebagai GRO. Kes ini menarik perhatian awam scehingga akhbar-akhbar (terutamanya tabloid berbahasa Melayu) laris seperti goreng pisang panas.
Bila cerita-cerita tersebut terpampang di dada akhbar, maka ramailah yang terkejut dengan 'kebebasan akhbar' yang ada di negara ini, hatta boleh berbicara tentang soal seks sebebas-bebasnya.
Maka, nama-nama besar jurukomen seperti Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr smail Ibrahim; Presiden Persatuan Gabungan Pelajar Melayu, Datuk Suhaimi Ibrahim; Ketua Unit Pengaduan Awam Pemuda Umno, Datuk Subhan Kamal dan Naib Presiden Belia 4B Malaysia, Datuk Abdul Wahab Razak pun tercetaklah di akhbar milik Umno untuk memberikan pendapat mereka mengenai isu 'keterbukaan' media ini.
Secara ringkas, semuanya tidak bersetuju dengan cara media menyajikan perbicaraan kes bunuh Noritta. Menurut Ismail, ianya 'mengaibkan dan menyebabkan wujudnya implikasi ke atas masyarakat terutama keluarga individu terbabit'.
Suhaimi pula mendakwa perkara ini 'memalukan Melayu'. Subhan juga menyimpulkan yang laporan media sebegini memalukan. Begitu juga dengan Abdul Razak. Katanya ini akan memalukan keluarga yang terlibat.
Yang jelas, semua jurukomen popular akhbar milik Umno ini mengeluarkan perkataan 'memalukan'. Betul, memang memalukan. Walaubagaimanapun, adalah tidak menghairankan kerana semua jurukomen ini adalah manusia biasa. Kalau ada kelainan pun, mereka ini sebenarnya termasuk dalam kategori 'Melayu mudah lupa'.
Apakah mereka lupa akan peristiwa hitam 1998 tatkala mantan Timbalan Perdana Menteri (yang juga dulunya idola kebanyakan jurukomen ini), diaibkan di depan semua warga dunia?
Anwar didakwa melakukan perbuatan liwat. Pertuduhan terhadapnya terpaksa dipinda sebanyak tiga kali. Masakan tidak, pertuduhan pertama dibuat ketika kondominium Tivoli Villa masih belum ada, dan 'kononnya' perbuatan sumbang terkutuk itu dilakukan di situ.
Anwar dipecat dari Umno oleh Mahathir Mohamad kerana kegiatan 'tidak bermoral ini'. Ya, moral dijadikan alasan ke atas pemecatan Anwar. Akibatnya, rata-rata rakyat Malaysia yang berfikiran waras, tidak dapat mempercayai pertuduhan ini dan turun ke jalan-jalan utama di ibunegara untuk berdemonstrasi.
Apa yang mereka dapat ketika mempertahankan kebenaran akibat peristiwa Anwar diaibkan oleh bosnya itu? Mereka dipukul polis, dihumban ke dalam lokap, dan tidak kurang yang hilang pekerjaan. Tetapi itulah harga perjuangan.
Yang pelik, nama-nama seperti Ismail, Suhaimi, Subhan dan Abdul Wahab tidak pula nampak menyatakan pendirian mereka dalam kes Anwar. Di manakah mereka ketika itu? Tidak nampak jurukomen-jurukomen ini mengeluarkan kenyataan dalam mana-mana akhbar mengatakan Anwar dan keluarganya telah diaibkan.
Mereka yang sedar Anwar diaibkan, bukanlah ulama-ulama kerajaan atau pemimpin-pemimpin belia, tetapi rata-rata adalah 'Mamat dispatch', pegawai-pegawai rendah kerajaan, pelajar dan pensyarah universiti, dan mereka yang bencikan ketidakadilan yang sudah lama subur di negara ini.
Adakah jurukomen-jurukomen kes bunuh GRO ini baru celik sekarang? Kalau begitu, sahlah mereka ini tidak layak menjadi pemimpin masyarakat.
Walaubagaimanapun, saya tetap berpendirian si tertuduh dalam kes ini, tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah. Lupakah kita dengan kes Anwar di mana media dan para-para pengampu, jurukomen serta pembodek, siang-siang lagi sudah menganggap beliau bersalah walaupun belum dibuktikan bersalah?
Ya, akhirnya Anwar dibuktikan bersalah, tetapi satu dunia tahu bagaimanakah 'tidak relevannya' perbicaraan kes beliau.
