Bagi warga kota, rutin harian memandu dari rumah ke tempat kerja sudah cukup untuk mereka merasakan keperitan ini. Itupun kalau mereka berfikir. Pagi tadi, ketika memandu melintasi Plaza Tol Damansara di Lebuhraya Sprint, Kuala Lumpur, saya terpaksa berbaris panjang untuk membayar toll di lorong tunai yang disediakan. Dua kali lebih panjang dari hari-hari sebelum ini. Barisan yang hampir sama panjang juga saya lihat di lorong Touch 'n Go (T'nG).
Mulanya, saya agak terkejut dengan apa yang berlaku, tetapi apabila sampai ke pejabat dan membaca akhbar harian milik parti pemerintah, fahamlah saya bahawa baris panjang di plaza tol itu ada kena mengena dengan tindakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu yang memaksa syarikat-syarikat konsesi tol menyeragamkan perkhidmatan bayaran tol seluruh negara bermula hari ini.
Malahan, terpampang satu iklan muka penuh dalam akhbar berbahasa Melayu mengucapkan 'tahniah' kepada syarikat-syarikat konsesi lebuhraya yang telah bertukar kepada sistem T'nG dan SmartTag.
Sebenarnya umum tahu bahawa pertukaran dari sistem yang ada seperti Fastrak (di lebuhraya Sprint, Damansara-Puchong) dan Express Tag (Kesas) serta Saga Tag (Grand Saga) bukannya membawa kepada kebaikan, malahan memburukkan lagi kesesakan di plaza tol.
Kerap kali kita lihat Samy Vellu muncul di kaca televisyen dengan nada angkuh memaksa semua syarikat konsesi yang terlibat supaya menukarkan sistem kutipan tol elektronik mereka kepada T'nG dan SmartTag yang dikendalikan oleh syarikat Rangkaian Segar Sdn Bhd. Alasan beliau ialah untuk 'menyeragamkan' sistem kutipan elektronik.
Saya rasa terpanggil untuk melahirkan perasaan saya ini kerana sebagai pengguna lebuhraya, saya turut menjadi mangsa kepada dasar Samy Vellu yang boleh dianggap zalim ini dan berbentuk penindasan kepada pengguna dan syarikat-syarikat konsesi kerana pandangan mereka tidak dipedulikan langsung.
Bagi pengguna, mereka tahu betapa murah dan mudahnya berurusan dengan menggunakan Fastrak. Malahan, mereka turut boleh mendapat 'rebet' jika melalui Kerinchi Link dan Damansara Link dalam masa kurang 15 minit. Tag Fastrak, yang menggunakan konsep sama seperti SmartTag, boleh diperolehi semurah RM30 berbanding dengan RM220 yang dijual oleh Rangkaian Segar.
Hayat bateri Fastrak juga lebih panjang dan baterinya lebih murah, dan tidak perlu bersusah payah untuk tambah nilai kerana pengguna boleh memilih untuk perkhidmatan 'auto reload'.
Turut menyedihkan, syarikat konsesi seperti Kesas mengakui kerugian RM14 juta semata-mata kerana perlu bertukar kepada sistem SmartTag dan T'nG bagi memenuhi kehendak Samy Vellu. Mana hendak mereka campak alat-alat yang dibeli berjuta-juta ringgit yang perlu diganti dengan mesin-mesin baru SmartTag dan T'nG itu? Semuanya melibatkan wang.
Kerajaan nampaknya begitu mudah saja membuat dan menukar dasar. Susah payah 300,000 pengguna (baca: pengundi Barisan Nasional) sistem bayaran tol elektronik sedia ada, langsung tidak dihiraukan. Bayangkanlah, syarikat konsesi terlibat juga terpaksa bekerja siang malam untuk memproses pemulangan wang pemegang tag. Bukankan itu membazirkan masa dan menjejaskan produktiviti?
Sudahlah begitu, syarikat yang menjadi 'darling' kepada Samy Vellu juga tidak dapat memberikan perkhidmatan yang memuaskan. Bekalan SmartTag yang kini diturunkan kepada RM180 tidak mencukupi , dan buat beberapa ketika ini pengguna cuma dapat 'menelan air liur' sahaja bila melihat lorong SmartTag kosong tatkala laluan TNG dan tunai, penuh sesak.
Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Di mana Samy Vellu yang begitu vokal itu apabila rakyat terkapai-kapai berbaris untuk membayar tol? Kenapakah seorang menteri boleh mempengaruhi kabinet agar bersetuju untuk menyusahkan pengguna lebuhraya?
Wakil rakyat Barisan Nasional pun langsung tidak bersuara dalam isu. Mana pergi mereka semua, lena dibuai mimpi setelah bergelar YB?
Walaupun tindakan menteri kabinet ini lansung tidak bijak, beliau tetap merasakan dirinya betul. Mungkin pengundi beliau di Sungai Siput tidak tahu betapa susahnya membayar tol di Lembah Kelang, maka sebab itu mereka terus berulang kali mengundi Samy Vellu. Kalau Samy Vellu bertanding di Petaling Jaya Utara, agaknya sudah lama beliau 'bungkus'.
Yang sah, tindakan Samy Vellu amat menyusahkan semua pihak. Dari berbaris pendek, bertukar ke barisan panjang. Dari murah, bertukar mahal. Dari senang, jadi susah. Takziah kepada semua pembayar tol.
