Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Pendapat-pendapat berikutnya adalah balasan kepada surat bertajuk Perpaduan harus mula di sekolah oleh Alias Mohd Yusof. Sebelum mengemukakan hujah-hujah seterusnya, biarlah saya memperkenalkan latarbelakang diri saya.

Saya ialah seorang rakyat Malaysia yang berketurunan Cina. Keluarga saya bukannya berada, tetapi tidak miskin juga. Pendek kata, sebuah keluarga yang biasa. Ibu bapa saya mula bekerja dan bersara sebagai kakitangan kerajaan.

Mereka telah menyumbang tenaga kepada kemajuan Malaysia walaupun tidak secara besar-besaran. Saya telah belajar di sekolah rendah dan menengah Cina.

Sejak merdeka, selain bersetuju untuk mengekalkan sekolah-sekolah berbagai aliran, para pemimpin yang mewakili kaum-kaum terbesar, juga bersetuju untuk memberikan hak-hak istimewa kepada kaum bumiputera.

Hak-hak tersebut termasuklah kuota ke universiti dan kuota pemilikan minimum syarikat swasta telah berjaya sedikit sebanyak mempertingkatkan status sosio-ekonomi kaum bumiputera agar setaraf dengan kaum-kaum lain, walaupun mekanisme pelaksanannya masih boleh dipertikaikan keberkesanannya sehingga kini.

Daripada perspektif sejarah Malaysia, yakni dengan menimbangkan dasar pihak penjajah yang mengekalkan kuasa pemerintahan secara pecah dan perintah, tidak dinafikan bahawa langkah-langkah yang memfokuskan bantuan kepada kaum bumiputera memang diperlukan.

Rakyat biasa kaum bumiputera telah tersisih langsung daripada arus perkembangan Tanah Melayu telah dieksplotasikan oleh pihak penjajah untuk keuntungan. Perlu ditegaskan bahawa langkah-langkah yang boleh dilaksanakan tidak dihadkan kepada dasar hak istimewa sahaja, dan saya percaya rakyat dan pemimpin negara kini mula mengesyaki bahawa dasar hak istimewa bukan langkah yang paling baik.

Dasar hak istimewa tersebut juga menyebabkan kesan-kesan sampingan di mana rakyat Malaysia yang bukan bumiputera, tersisih daripada peluang-peluang untuk memperbaiki status kehidupan mereka dan menyumbang tenaga dalam memajukan Malaysia.

Terdapat juga pemimpin negara yang mengetengahkan bahawa dasar tersebut menyebabkan kaum bumiputera tidak yakin dengan kebolehan mereka dan kurang berdaya-saing.

Kes 128 pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat belajar dalam kursus perubatan di Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) baru-baru ini, merupakan contoh yang baik, dan elok kita mengupas isu tersebut untuk tujuan perbincangan ini.

Kesemua pelajar tersebut adalah bukan bumiputera, dan majoritinya berketurunan Cina. Pernahkah melintas di fikiran Alias apakah kesemua pelajar tersebut berasal daripada sekolah jenis kebangsaan ataupun sekolah kebangsaan? Saya berani mendakwa bahawa pelajar-pelajar tersebut berasal daripada kedua-dua jenis sekolah.

Kita masih boleh berdebat sama ada mereka gagal kerana pencapaian peperiksaan yang kurang memuaskan atas dasar meritokrasi, ataupun gagal kerana dicicirkan oleh dasar mengekalkan kuota universiti untuk kaum bumiputera?

Namun, apa yang jelas ialah isu ini (dan isu-isu dahulu yang serupa) boleh mencetuskan perasaan di kalangan kaum bukan bumiputera bahawa mereka telah didiskriminasikan. Keengganan pihak universiti untuk mengemukakan statistik secara telus tidak membantu menyelesaikan masalah ini.

Cuba fikirkan persoalan ini dari perspektif ibu-bapa bukan bumiputera. Jika membiarkan anak-anak belajar di sekolah kebangsaan, masa hadapan mereka tidak terjamin walaupun mereka rajin belajar dan mendapat keputusan baik.

Jika mendaftarkan anak-anak di sekolah jenis kebangsaan, masa hadapan mereka tidak terjamin juga, tetapi sekurang-kurangnya mereka mengekalkan budaya dan bahasa ibunda. Mungkin mereka akan mendapat peluang di luar negara kerana boleh bertutur dalam pelbagai bahasa.

Mungkin terdapat celahan bahawa dasar pemilihan pelajar IPTA telah ditukarkan kepada sistem meritokrasi sebenar, dan untuk tujuan meneruskan perbincangan, kita boleh menganggap bahawa kenyataan ini memang benar.

Namun, dasar hak istimewa yang dikuatkuasakan sekian lama, telah menanam benih perasaan tidak puas hati di kalangan kaum bukan bumiputera. Dan setiap kali isu-isu seperti 128 pelajar tersebut berlaku, mereka akan mendakwa bahawa diskriminasi telah berlaku.

Perasaan inilah yang menyebabkan kita berpecah-belah. Dan perasaan ini akan diwarisi dari generasi ke generasi. Tidakkah kita kedengaran dengusan bahawa kaum bumiputera tidak mendapat peluang dalam sektor swasta? Adalah tidak wajar kita mempertikaikan pihak mana yang memulakan kitaran ini kerana perasaan ini adalah dua hala.

Adalah diharapkan Alias tidak menudah sembarangan bahawa sistem persekolahan pelbagai aliran telah mempecah-belahkan rakyat Malaysia. Janganlah menggunakan kewujudan sekolah Cina dan Tamil sebagai alasan mudah.

Tidak dinafikan bahawa sekolah jenis kebangsaan telah berjaya mengekalkan budaya dan bahasa kaum Cina dan India. Namun, selain mempelajari bahasa ibunda, pelajar di SJK juga mempelajari bahasa kebangsaan dan sejarah Tanah Melayu.

Lihatlah contoh unggul di depan mata anda. Saya fasih bertutur bahasa Melayu, bahasa Tionghua dan bahasa Inggeris, seperti pelajar-pelajar SJK lain yang boleh bertutur dalam tiga bahasa. Adalah tidak masuk akal jika kami dituduh kurang berjiwa Malaysia.

Setiap manusia di dunia ini berhak mengekalkan budaya dan bahasa ibunda masing-masing. Saya percaya bahawa seorang yang berketurunan Melayu yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu pasti dicemuh dan dipandang rendah oleh kaum Melayu.

Dari pandangan sudut berlawanan, mengapa hendak memaksa semua rakyat Malaysia belajar di sekolah kebangsaan atas tujuan tidak mengasingkan mereka?

Mengapa tidak menggalakkan kaum bumiputera supaya belajar di SJK? Saya pasti agama dan budaya mereka tidak akan terjejas, malah mereka dapat mempelajari satu lagi bahasa yang berguna.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS