Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Menjadi ahli keluarga pemimpin tertinggi bukannya mudah, walaupun bagi kebanyakan orang sangat berhasrat untuk ditakdirkan menjadi salah seorang atau mempunyai talian dengan keluarga pemimpin tertinggi.

Menjadi ahli keluarga pemimpin tertinggi juga memerlukan etika dan moral yang biasanya tidak bertulis, tetapi wujud dan wajib diamalkan untuk membolehkan nama baik pemimpin tertinggi tetap terpelihara.

Menjadi ahli keluarga mestilah bersama-sama dengan pengorbanan, termasuk dengan membuang sikap pentingkan diri sendiri demi masa depan pemimpin tertinggi dan negara keseluruhan.

Menjadi ahli keluarga pemimpin tertinggi biasanya dikaitkan dengan pemimpin tertinggi itu secara langsung. Jika kita sebut nama Khairy Jamaluddin, secara tidak langsung kita bercakap mengenai menantu kesayangan.

Walau setinggi mana kelulusan dan kehebatan, tetapi kerana bernaung di bawah pemimpin tertinggi, maka pengorbanan wajib dilakukan. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) tidak mengizinkan anak-anaknya memegang jawatan tertinggi dalam parti pimpinannya, kerana tidak mahu dikaitkan dengan beliau, walaupun beliau sendiri boleh berhujah bahawa anaknya layak dan Pemuda yang tentukan sendiri.

Anak-anak beliau Mokhzani dan Mukriz misalnya, tidak memegang jawatan tertinggi dalam Pemuda mahupun Umno kerana mereka tidak dibenarkan untuk bertanding.

Ini etika. Ianya tidak bertulis. Ianya boleh dilanggar bila-bila masa. Ianya tidak ada dalam perlembagaan atau mana-mana akta, enakmen atau sebagainya.

Oleh kerana ia bersifat moral dalaman, mereka yang waras dapat membezakan kebaikan mematuhi etika ini. Sesiapa melanggar akan dicela secara moral, walaupun akhbar-akhbar arus perdana tidak menyiarkannya.

Maafkan saya jika mengambil contoh sejarah Rasulullah berhubung dengan etika moral sejagat ini. Isteri Rasulullah (yang diistilahkan sebagai ahli bait ahli keluarga) juga manusia biasa seperti orang lain.

Mereka juga mempunyai nafsu dan kepentingan sendiri, tetapi demi menjaga nama baik pemimpin tertinggi iaitu Rasulullah dan agama suci itu, maka Penentu Moral Mutlak iaitu Allah telah mengariskan beberapa ketetapan undang-undang yang halus untuk difahami.

Penentu Moral Mutlak tidak membenarkan isteri-isteri beliau mengumpulkan harta untuk peribadi, walaupun suami mereka ketika itu seorang pemimpin negara Madinah.

Penentu Moral Mutlak itu juga membuat ketetapan supaya isteri Rasulullah tidak lagi dibenarkan berkahwin dengan orang lain selepas wafatnya baginda, demi menjaga kerahsiaan politik dan agama yang dibawa Rasulullah.

Begitu jugalah dengan Khairy Jamaluddin. Nama baik Pak Lah perlu terpelihara atas sebab jawatan pemimpin tertinggi perlu dihormati oleh semua rakyat jelata.

Janganlah rakyat jelata memandang remeh kepada pemimpin tertinggi negara. Janganlah kerana kepentingan Khairy (untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno), nama Pak Lah tercalit nepotisme.

ADS