Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Peringkat Negeri Kelantan hasil persetujuan bersama antara Putrajaya dan Kota Darul Naim.

Hubungan erat dan kerjasama baik di peringkat ‘Government to Government’  ini merupakan episod baru dalam sejarah pentadbiran PAS di Kelantan semenjak 1990.

Hubungan baik ini sewajarnya sudah sekian lama dibina kerana semangat federalisme itu termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Perbezaan idelogi politik parti pemerintah di peringkat pusat dan negeri tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat yang sepatutnya dibela oleh semua pihak.

Segala luka lama seperti penderaan terhadap rakyat Kelantan yang dinafikan hak mendapat royalti minyak, lebuhraya yang sempurna, dan pelbagai peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) hendaklah diubati segera.

Usahlah mengulangi kezaliman penarikan royalti minyak ketika PAS mentadbir Terengganu dahulu.

Semangat federalisme yang tulen itu menjamin keadilan dan hak untuk semua rakyat tanpa menjadikan perbezaan idelogi politik sebagai tembok penghalang.

Atas semangat ini jugalah hubungan rasmi yang dijalin antara kerajaan pusat dan negeri boleh dibina dengan baik tanpa menimbulkan polemik kewujudan kerajaan campuran antara Umno dan PAS di Kelantan.

PAS dengan penuh harapan agar episod baru dalam hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ini akan membawa rahmat kepada seluruh rakyat yang baru ditimpa musibah serta mengangkat lembaran politik baru yang lebih matang, terbuka dan demokratik.


DATUK MAHFUZ OMAR MP Pokok Sena dan ketua penerangan PAS.

Lihat Komen
ADS