Tidak perlu saya memuji keberanian Steven Gan dalam editorialnya bertajuk It's family first for Umno Sdn Bhd , kerana membuat analisis yang menyeluruh, mengenai nepotisme Umno kini.
Tentunya jika ada wartawan di media cetak dan media TV berani menulis sebegini, saya yakin penulis itu akan terus dicampakkan ke Sarawak, atau dipinggirkan di ruangan yang tidak lagi dibenarkan menulis isu politik, seperti di 'foreign desk'.
Tetapi, saya yakin, di hati setiap wartawan ada keberanian, kritis dan boleh melihat sesuatu dengan lebih jujur jika `periuk nasi' tidak diganggu. Kebanyakan nilai murni yang menjadi roh kebebasan media, hanya tinggal dalam hati.
Khairy Jamaluddin sebagai naib ketua Pemuda Umno sudah tidak lagi releven kerana beliau kini secara automatik akan memegang jawatan berkenaan.
Khairy melepaskan jawatannya di Pejabat Perdana Menteri untuk terlibat secara langsung dengan politik. Ini kerana pegawai lepasan ijazah tidak dibenarkan memegang jawatan dalam politik. Inilah dasarnya.
Kawan karib Khairy yang juga defakto-nya di Pejabat Perdana Menteri, Ahmad Zaki Zahid, juga lepasan ijazah dan bekerja sebagai Ketua Unit Dasar di Pejabat Perdana Menteri.
Walaupun ada arahan sebelum ini dari Ketua Setiausaha Negara (KSN) agar kumpulan berijazah (istilah kerajaan dipakai Kumpulan Pengurusan dan Profesional) dilarang bertanding, nampaknya Zaki, kerana berada di pejabat Perdana Menteri, dibolehkan pula.
Walaupun alasannya bahawa beliau pekerja kontrak di pejabat PM, tetapi mana ada kebenaran dari pekeliling yang membenarkan seseorang pekerja kontrak dibenarkan bertanding dalam mana-mana parti politik?
Janganlah apabila kita bekerja di Pejabat Perdana Menteri, semuanya dihalalkan, termasuk jika melakukan kejahatan, rasuah atau sebagainya!
Kebalnya Zaki dalam kes ini akan menyebabkan beribu-ribu kakitangan awam lain melihat secara sinis dan merosakkan PM yang kita sayangi semua.
Jika Zaki dibenarkan, orang lain juga perlu dibenarkan. Sama seperti jika pekerja bawahan dilarang rasuah, pekerja di pejabat PM juga haram melakukan rasuah.
KSN di mohon segera menjawab isu ini agar pekerja awam lain tidak lagi akan menghormati pekeliling, perintah am dan sebagainya.
