Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
CAP: Pencemaran najis babi makin serius
Diterbitkan:  Apr 6, 2015 8:00 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran najis babi yang dihadapi oleh penduduk Kampung Titi Hitam dekat Sungai Bakap, daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

 

Masalah yang berpunca dari sebuah kandang ternakan babi di kampung ini telah menyebabkan kawasan berkenaan diselubungi bau busuk dan menjejaskan keselesaan hidup seharian penduduk kampung tersebut. Mereka mendakwa mengalami pening kepala dan loya kerana menghidu bau busuk najis binatang itu.

 

Kawasan kandang di sini juga tidak diselenggara dengan baik menyebabkan kampung ini terdedah kepada ancaman pencemaran dan kesan kotoran najis babi yang serius. Kalangan penduduk terbabit bimbang Virus Nipah mungkin menjangkiti mereka jika masalah ini dibiarkan.

 

CAP kesal walaupun keadaan itu sudah ditimbulkan oleh penduduk yang terlibat kepada pihak berwajib sejak lima tahun yang lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil bagi menanganinya.

 

CAP meminta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyiasat masalah ini serta mengambil tindakan undang-undang yang tegas ke atas penternak di sini jika didapati melanggar peraturan yang dimaktubkan.

 

CAP berharap kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa berkenaan memberi perhatian serius terhadap isu ini dengan melakukan pemantauan secara berterusan agar alam sekitar tidak tercemar dan kesihatan penduduk tidak terjejas pada masa akan datang.

 

CAP percaya dan bimbang jika punca masalah pencemaran ini tidak ditangani dengan berkesan ia akan merebak ke sungai dan laut sekaligus memberi kesan buruk ke atas sistem pengairan dan perairan negeri ini di samping menjejaskan kesihatan penduduk, hidupan marin dan sumber pendapatan nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan laut.

 

Sehubungan itu tindakan bersepadu oleh semua pihak berkuasa termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah pencemaran najis babi yang dihadapi oleh penduduk kampung ini.

 

CAP mencadangkan kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan menutup aktiviti ternakan babi di sini jika pihak berkuasa yang bertanggungawab masih gagal menangani isu yang sudah sekian lama berlarutan ini.

 

 

SM MOHAMED IDRIS adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Lihat Komen
ADS